Isnin, 28 March 2022 | 12:52pm
Sultan Nazrin Shah berangkat ke pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (kiri). - BERNAMA
Sultan Nazrin Shah berangkat ke pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (kiri). - BERNAMA

Sultan Perak minta jabatan kerajaan, rakyat elak bazir makanan

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meminta jabatan kerajaan menunjukkan contoh teladan dalam aspek menghargai dan tidak membazir makanan, bermula daripada proses menempah hidangan untuk majlis dan acara yang diadakan serta semasa perjumpaan atau mesyuarat.

Baginda bertitah, manusia perlu dididik dengan nilai menghargai makanan dan disemai dengan budaya tidak membazirkan makanan.

"Kerajaan Beta hendaklah mengambil langkah-langkah bermakna menghentikan pembaziran ini. Jabatan-jabatan kerajaan wajib menunjukkan contoh teladan, bermula daripada menempah kuantiti makanan dalam majlis dan acara yang diadakan dan semasa berlangsungnya perjumpaan atau mesyuarat.

"Setiap isi rumah, sekolah, maktab dan universiti, masjid dan rumah ibadat serta operator makanan, restoran dan hotel wajib mengamalkan budaya tidak menyediakan makanan secara berlebihan yang hanya berakhir di dalam tong sampah," titah baginda.

Bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini, Sultan Nazrin menegaskan, setiap hari banyak bahan makanan dibazirkan, yang mana data di peringkat global menunjukkan nilai makanan dibazirkan mencecah 2.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

"Di negara kita, dilaporkan setiap hari 17,000 tan sisa makanan yang boleh mengisi perut tiga juta rakyat dilupuskan, manakala 4,080 daripada jumlah tersebut merupakan makanan yang dibazirkan. Jumlah tersebut meningkat sepuluh peratus pada bulan Ramadan. Angka-angka tersebut membayangkan betapa seriusnya perbuatan pembaziran makanan yang sedang berlaku," titah baginda.

Sultan Perak memuji inisiatif diusahakan pihak pentadbiran 40 masjid dan beberapa pusat tahfiz di negeri ini yang memajukan kawasan di sekitar institusi untuk menghasilkan makanan.

Selain itu, titah baginda, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sedang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membiayai projek pertanian dalam kalangan belia dan pelajar dengan bantuan menubuhkan kelab pertanian untuk menyemai minat bertani dalam kalangan remaja.

"Usaha terpuji ini perlu diperluas dan diperbanyakkan dengan penglibatan lebih banyak masjid, rumah ibadat, sekolah, pusat tahfiz, pertubuhan belia, pihak swasta dan turut diperkenalkan di kuarters kerajaan merangkumi kem tentera dan berek polis," titah baginda.

Berita Harian X