Isnin, 28 March 2022 | 12:34pm
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.

Taasub kemajuan bukan lesen musnah alam sekitar - Sultan Nazrin

IPOH: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan ketaasuban untuk memajukan prasarana bagi meraih keuntungan perniagaan jangan dijadikan lesen menghalalkan sifat rakus memusnahkan alam sekitar.

Titah Sultan Perak, kecanggihan teknologi semata-mata tidak mampu membendung bencana akibat kerosakan alam sekitar yang dilakukan manusia.

"Pelbagai bencana alam yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini hendaklah ditafsirkan sebagai peringatan Ilahi kepada manusia yang bersifat zalim sehingga alam semakin membenci dan enggan bersahabat dengan manusia," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, pembangunan negara harus mengambil kira elemen pemantapan sahsiah dan rasa cinta kepada alam sekitar untuk menyemai kesedaran agar manusia berbaik-baik dengan alam sekitar supaya ada keseimbangan antara pembangunan prasarana dan pemuliharaan alam.

Baginda juga memandang serius isu kelangsungan populasi Harimau Malaya atau panthera 'tigris jacksoni' dan berdasarkan kajian, kawasan hutan simpan di Perak adalah habitat penting hidupan liar berkenaan.

"Hasil kajian mendapati kini hanya berbaki 37 Harimau Malaya, 30 dewasa dan tujuh anak harimau yang masih berkeliaran di hutan simpan negeri. Angka ini sangat rendah berbanding keluasan kawasan habitat yang boleh menampung sekitar 200 harimau berkenaan.

"Dalam usaha menyokong pengukuhan habitat Harimau Malaya, kerajaan negeri mewartakan kawasan seluas hampir 19,000 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal Amanjaya," titah baginda.

Berita Harian X