Isnin, 28 March 2022 | 12:31pm
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia tidak terlepas terima kesan negatif konflik Rusia-Ukraine

IPOH: Rantaian bekalan global yang berada dalam keadaan rapuh kini beralih daripada menghadapi bencana pandemik kepada konflik Rusia-Ukraine yang berisiko mengakibatkan kemelesetan dan ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah ia menyebabkan harga minyak dan gas asli dunia melonjak lebih tinggi yang pastinya akan memburukkan keadaan bagi syarikat dalam banyak industri, terutama yang sangat bergantung pada sumber tenaga minyak.

"Ekonomi global bakal menghadapi kemelesetan jika konflik berlarutan. Malaysia tidak terlepas daripada berdepan kesan negatif.

"Kesan langsung dan tidak langsung daripada konflik yang berterusan akan menjejaskan bekalan makanan, mempengaruhi persekitaran inflasi dan kadar faedah, juga menyebabkan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, prospek Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global akan berkurangan antara 10 hingga 20 peratus.

"KDNK Malaysia mencatatkan penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020. Alhamdulillah, ekonomi Malaysia pada tahun 2021 membayangkan pelangi pemulihan, mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 3.1 peratus bagi tahun 2022.

"Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia sekitar 5.7 peratus, dipacu oleh peningkatan signifikan dalam perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pembendungan pandemik serta sentimen pengguna dan perniagaan yang kian meningkat," titah baginda.

Sultan Perak bertitah, pada tahun lalu, kerajaan negeri berjaya menutup akaun dengan lebihan RM23 juta berbanding unjuran defisit RM110 juta dengan kutipan hasil mencapai 108 peratus berbanding sasaran membabitkan nilai kutipan melebihi RM998 juta ditambah terimaan pembangunan hampir RM30 juta.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan hasil dan terimaan pembangunan mencecah RM1.03 bilion," titah baginda.

Titah baginda, berbanding kutipan hasil 2020, kutipan 2021 meningkat 1.5 peratus dipengaruhi peningkatan 6.2 peratus kutipan hasil tanah serta peningkatan 54 peratus sumbangan badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

"Selain itu, peralihan secara berperingkat ke Fasa Empat Pemulihan Negara pada 8 November 2021, turut membantu meningkatkan kutipan hasil," titah baginda.

Titah baginda, sidang DUN sebelum ini sudah meluluskan belanjawan RM1.1 bilion untuk 2022 dengan RM803 juta untuk belanja mengurus dan RM302 juta bagi belanja pembangunan atau pada nisbah 72.7 peratus belanja mengurus dan 27.3 peratus belanja pembangunan.

Berita Harian X