Ahad, 27 March 2022 | 8:57pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama penerima pelbagai bantuan dalam majlis di Simpang Pertang, Negeri Sembilan. - NSTP/ABNOR HAMIZAM
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama penerima pelbagai bantuan dalam majlis di Simpang Pertang, Negeri Sembilan. - NSTP/ABNOR HAMIZAM

Subsidi untuk koperasi jual barang keperluan lebih murah

JELEBU: Koperasi diharap terus berperanan dalam memastikan harga barangan keperluan seperti ayam dan telur dijual lebih murah, terutama yang membabitkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).

Untuk tujuan itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memberi subsidi dengan peruntukan RM3 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata subsidi akan diberi kepada koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan runcit.

"Kita harap koperasi dapat membantu usaha kerajaan dalam memastikan bekalan makanan basah seperti ayam lebih murah dan lebih stabil," katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Keluarga Malaysia di Kompleks UMNO Simpang Pertang di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof dan ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, berlaku salah faham berhubung kenyataannya mengenai penangguhan gaji minimum baharu ke atas perusahaan kecil dan sederhana.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia diminta berbincang dengan KUSKOP bagi penangguhan gaji minimum dalam kalangan usahawan mikro.

"Usahawan mikro ini membabitkan mereka yang memperoleh pendapatan tahunan bawah RM300,000 dan pekerja kurang lima orang.

"Peniaga kecil-kecilan seperti yang menjual makanan dalam skala kecil tidak perlu membayar gaji minimum kepada pekerja berikutan pendapatan tidak besar berbanding usahawan industri kecil dan sederhana," katanya.

Berita Harian X