Ahad, 27 March 2022 | 1:47pm
Cindy Lopez (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan Shell kepada Tunku Puteri Intan Safinaz (kiri) sambil disaksikan Rina pada majlis pelancaran Geran Keluarga Tunggal di Ibu Pejabat Kebangsaan PBSMM, hari ini. - NSTP/AZIAH AZMEE
Cindy Lopez (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan Shell kepada Tunku Puteri Intan Safinaz (kiri) sambil disaksikan Rina pada majlis pelancaran Geran Keluarga Tunggal di Ibu Pejabat Kebangsaan PBSMM, hari ini. - NSTP/AZIAH AZMEE

Geran Keluarga Tunggal bantu ketua isi rumah terjejas COVID-19, PKP

KUALA LUMPUR: Ketua isi rumah (KIR) tunggal, sama ada ibu atau bapa yang terjejas, terutama hilang pekerjaan susulan penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memohon bantuan melalui Geran Keluarga Tunggal (GKT) yang dilancarkan hari ini.

GKT hasil inisiatif Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dengan projek rintis akan memanfaatkan 50 KIR yang akan dibantu menjana pendapatan melalui projek keusahawanan, sama ada memulakan perniagaan baharu atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika melancarkan inisiatif itu, berkata program terbabit memerlukan peserta berkongsi idea dan konsep bagi projek keusahawanan.

"PBSMM akan membuat tapisan sebelum menentukan berapa keperluan, sama ada RM1,000 atau maksimum RM10,000 yang diperlukan peserta. Selepas menerima geran, peserta akan dipantau hingga enam bulan dan turut diberikan bimbingan pendidikan serta ekonomi supaya projek keusahawanan mereka berjalan dengan baik," katanya.

Sempena majlis pelancaran, Shell Malaysia memberikan sokongan dana RM150,000 bagi menjayakan program terbabit dengan pendaftaran permohonan boleh dibuat melalui laman htps/hit.bygerankeluargatunggal.

Sumbangan Shell diserahkan Ketua Negara Perhubungan Korporat Shell Malaysia, Cindy Lopez kepada Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Rina juga menggesa syarikat korporat lain untuk tampil bersama-sama membantu dan memberi sumbangan kepada PBSMM bagi mengisi dana bantuan terbabit.

Beliau turut memberi jaminan akan mempertimbangkan semula geran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perkhidmatan ambulans 24 jam disediakan PBSMM yang terhenti tahun lalu.

Untuk rekod, sejak 2012, PBSMM menerima geran tahunan RM2 juta sebelum dikurangkan kepada RM1.5 juta pada 2015 dan 2016. Geran terus dikurangkan kepada RM1 juta bermula 2017 dan dihentikan pada 2021, sekali gus memberikan kesan kepada perkhidmatan berkenaan.

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti 10 peserta dari kawasan Parlimen Titiwangsa untuk dibantu menerusi GKT dengan setiap seorang bakal menerima geran RM3,000.

"Kita berharap kerajaan, pihak korporat dan organisasi kemanusiaan terus komited membantu golongan B40 dalam masa mencabar ini," katanya.

Berita Harian X