Ahad, 27 March 2022 | 10:17am
(Gambar fail) Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO BERNAMA

Program e-Pemula bakal manfaatkan lebih 2 juta belia

KUALA LUMPUR: Program e-Pemula yang akan dilancarkan tidak lama lagi, bakal memberi manfaat kepada lebih dua juta belia membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, program e-Pemula ialah Skim Transaksi Tanpa Tunai khas untuk golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Program e-Pemula akan mengkreditkan RM150 secara 'one-off' ke dalam akaun e-dompet golongan belia ini," katanya pada Bengkel Pengurusan Kewangan 'My Money & Me' sempena Global Money Week 2022 yang diadakan secara maya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat banyak dana serta pembiayaan disediakan khas untuk golongan belia melalui Bajet 2022.

"Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang usahawan muda, Pelan Pembiayaan Belia Usahawan sebanyak RM150 juta ditawarkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah mula membayar elaun sebanyak RM900 kepada pelajar yang menjalani program latihan industri sejak 2019.

Katanya, langkah itu bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan golongan belia.

Beliau turut mengambil kesempatan mengingatkan golongan muda mengenai kepentingan masa depan dan amalan konsep pengurusan kewangan yang positif.

"Bagi mencapai tahap kesejahteraan kewangan yang positif, anda perlu membiasakan diri dengan konsep kawalan diri.

"Kawalan diri akan membolehkan anda mengagihkan simpanan dan berjinak-jinak dengan dunia pelaburan serta menerajui pelan takaful dan insurans yang sedikit sebanyak dapat membantu memastikan tahap kesejahteraan kewangan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X