Ahad, 27 March 2022 | 9:41am

Angka harian COVID-19 di Sabah menurun

KOTA KINABALU: Angka harian jangkitan COVID-19 di Sabah menurun kepada 269 kes, semalam berbanding 372 pada hari sebelumnya, sekali gus menjadi antara terendah direkodkan sejak Januari lalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jangkitan baharu mengikut daerah turut mencatat penurunan ketara dengan tertinggi hanya 36 kes masing-masing di Kota Kinabalu dan Penampang.

Beliau berkata, ia berbanding 96 kes baharu dilaporkan di Kota Kinabalu dan 53 pula di Penampang, kelmarin.

"Papar serta Putatan pula masing-masing mencatat penurunan satu dan dua kes kepada 23 serta 19 jangkitan baharu. Bagaimanapun, Tuaran melaporkan 26 kes baharu berbanding 23 pada hari sebelumnya," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Secara keseluruhan, beliau berkata, sebanyak 15 daerah mencatat jangkitan baharu bawah 10 kes, manakala sembilan daerah merekodkan dua digit kes baharu.

Katanya, daerah Semporna, Telupid dan Tongod pula tiada merekodkan sebarang kes baharu, semalam.

"Bagaimanapun, peratusan jangkitan sporadik masih tinggi pada kadar 57.62 peratus. Ini bermakna risiko jangkitan dan perebakan kekal tinggi, khususnya di tempat awam yang ramai orang.

"Seramai 266 orang atau 98.89 peratus daripada 269 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala baki tiga dalam Kategori 4," katanya.

Sementara itu, dua kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan di Sabah, semalam, membabitkan daerah Pitas.

Seramai 1,473 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh, semalam, manakala 414 masih dirawat, termasuk 36 orang dalam keadaan kritikal.

Berita Harian X