Ahad, 27 March 2022 | 9:18am
Nasaruddin (berbaju kuning) bersama 200 peserta bersedia memulakan Kayuhan Malam Earth Hour di pekarangan Menara Maha, Langkawi. - NSTP/HAMZAH OSMAN
Nasaruddin (berbaju kuning) bersama 200 peserta bersedia memulakan Kayuhan Malam Earth Hour di pekarangan Menara Maha, Langkawi. - NSTP/HAMZAH OSMAN

LADA buat persiapan rapi sambut pelancong antarabangsa

LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melakukan persiapan rapi bagi menyambut ketibaan pelancong antarabangsa sejurus pembukaan semula sempadan negara mulai Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata pelbagai acara dirancang bertujuan merancakkan kembali pulau ini, selain sebagai tanda penghargaan dan kemesraan penduduk tempatan.

"LADA telah membuat penyelarasan untuk mengadakan sambutan bersesuaian terhadap ketibaan pelancong penerbangan terus dari Singapura pada jam 5 petang Jumaat ini.

"Setengah jam kemudian, pesawat Malaysia Airlines (MAS) bersama sekumpulan pelancong asing yang transit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan turut tiba," katanya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Nasaruddin turut menyertai acara Kayuhan Malam Earth Hour sejauh 10 kilometer bermula dari pekarangan Menara Maha dan mengelilingi pekan Kuah sebelum berpatah balik.

Seramai 200 peserta menyertai acara itu yang juga sebahagian aktiviti disusun sempena ulang tahun LADA ke-32 yang disambut selama 15 hari berakhir Khamis depan.

"Pada malam ini (malam tadi), Menara Maha memadamkan lampu selama satu jam mulai jam 8.30 hingga 9.30 malam sebagai langkah simbolik mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan memupuk sikap masyarakat menghargai bumi.

"Langkawi juga menjadi antara 7,000 bandar di dunia yang meraikan Earth Hour secara serentak bertemakan 'Shape Our Future'," katanya.

Berita Harian X