Sabtu, 26 March 2022 | 9:42pm
Ismail Sabri (tengah) pada perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini sambil diperhatikan Noh Omar (kiri) dan Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ismail Sabri (tengah) pada perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini sambil diperhatikan Noh Omar (kiri) dan Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Usahawan perlu kuasai teknologi baharu, pendigitalan

KUALA LUMPUR: Usahawan perlu menguasai pelbagai teknologi baharu khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata segenap rangkaian ekonomi kini berdepan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang membawa pelbagai teknologi baharu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menyedari perkembangan sedemikian dan mempergiatkan persediaan rapi yang mana antaranya merangkumi MyDIGITAL.

"MyDIGITAL adalah satu insiatif yang mencerminkan aspirasi kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.

"Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR menggariskan usaha serta inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.

"Justeru, saya berharap usahawan menguasai teknologi baharu ini, khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus yang sedang berkembang pesat.

"Pendigitalan juga dapat membantu produk-produk dari luar bandar menembusi pasaran yang lebih luas," katanya pada ucaptama perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama peniaga sempena perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama peniaga sempena perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ismail Sabri berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) amat penting kepada pembangunan negara kerana ia menyediakan lebih lapan juta peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

Beliau menyifatkan sektor berkenaan sebagai nadi utama dan kerajaan memberikan perhatian serius bagi memastikan PKS berupaya terus berkembang, bukan sekadar di peringkat domestik, malah ke pasaran serantau.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan meletakkan sasaran 45 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2025 yang disumbangkan oleh PKS.

"Sasaran ini adalah realistik kerana sebanyak 39 peratus KDNK negara pada 2019 disumbangkan oleh PKS, sebelum ia terjejas akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu dan terbaharu, akibat banjir pada penghujung tahun lalu.

"Bagaimanapun kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk memastikan PKS termasuk usahawan mikro dan informal dapat meneruskan perniagaan mereka.

"Sebagai contoh, kerajaan melancarkan program Semarak Niaga dengan dana RM22 bilion untuk membantu usahawan mendapatkan pembiayaan bagi meluaskan perniagaan," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional menawarkan pinjaman hingga RM10,000 tanpa faedah dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal.

Jelasnya, saiz dana untuk program berkenaan mencecah RM200 juta manakala Agrobank menyediakan pinjaman sehingga RM75,000 tanpa faedah berserta kemudahan moratorium selama enam bulan.

"SME Bank menawarkan pinjaman hingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0.

"Secara keseluruhan, saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta. Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan usahawan Keluarga Malaysia dapat terus mengembangkan perniagaan dan perusahaan," katanya.

Berita Harian X