Sabtu, 26 March 2022 | 2:28pm

Jangan dedah identiti penjawat awam dituduh rasuah - CUEPACS

MELAKA: CUEPACS meminta identiti ahlinya yang berdepan pertuduhan rasuah tidak didedahkan kepada umum selagi mereka belum disabitkan kesalahan.

Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd Nordin, berkata pihaknya berpendapat pendedahan identiti individu belum disabitkan hanya akan mencemarkan imej dan keluarga mereka, selain menyebabkan mengalami tekanan.

"Penjawat awam yang dituduh tidak perlulah kita hebahkan identitinya sebab kadang-kadang boleh buatkan dia (tertuduh) berasa tertekan, terutama imej, maruahnya dan keluarga kerana masih belum dihukum bersalah.

"Dalam kes yang tidak mengaku bersalah, ia akan mengambil tempoh lima hingga enam tahun untuk memulihkan imej di mata masyarakat.

"Jadi, jika boleh elak disebarkan identiti penjawat awam yang dituduh sebelum dijatuhi hukuman," katanya selepas Seminar Memahami Keperluan Dan Cabaran Penjawat Awam Dalam Persekitaran Norma Baharu Anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Banda Hilir di sini, hari ini.

Seminar dianjurkan itu antara lain bertujuan berkongsi pengetahuan kepada kakitangan awam, khususnya kakitangan MIDA berkaitan cabaran dalam norma baharu.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Kesatuan Kakitangan MIDA, Abdul Rashid Abdullah.

Ditanya mengenai senario kes rasuah dalam kalangan 1.6 juta ahlinya di seluruh negara, Abdul Rahman berkata, kesatuan melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes yang menjejaskan imej negara.

"Masalah ini (rasuah) bukan saja di bawah (gred bawahan), tetapi di atas (pegawai atasan) juga yang terbabit dan akan merosakkan imej negara.

"Kita sememangnya bimbang bila nampak peningkatan rasuah itu," katanya.

Kakitangan MIDA mendengar penerangan disampaikan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin pada Seminar Memahami Keperluan Dan Cabaran Penjawat Awam Dalam Persekitaran Norma Baharu di Banda Hilir di sini, hari ini. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Kakitangan MIDA mendengar penerangan disampaikan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin pada Seminar Memahami Keperluan Dan Cabaran Penjawat Awam Dalam Persekitaran Norma Baharu di Banda Hilir di sini, hari ini. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X