Sabtu, 26 March 2022 | 2:18pm
Sesi kedua SPM 2021 untuk calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu pada 8 Februari hingga 29 Mac lalu ditetapkan pada 5 April hingga 19 Mei depan. - Foto hiasan NSTP
Sesi kedua SPM 2021 untuk calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu pada 8 Februari hingga 29 Mac lalu ditetapkan pada 5 April hingga 19 Mei depan. - Foto hiasan NSTP

Sesi kedua SPM pada 5 April - 19 Mei

KUALA LUMPUR: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 sesi kedua akan dilaksanakan pada 5 April hingga 19 Mei depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan peperiksaan sesi kedua itu merangkumi Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) dan Ujian Amali Sains.

Sesi kedua SPM itu diadakan bagi calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan yang dilaksanakan pada 8 Februari hingga 29 Mac lalu.

"Calon berkenaan adalah yang disahkan positif COVID-19, perlu menjalani tempoh kuarantin seperti diarahkan Kementerian Kesihatan (KKM), calon yang terkesan akibat banjir atau kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan," kata kenyataan itu.

Calon terbabit peperiksaan SPM 2021 sesi kedua itu diingatkan menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan ditetapkan, tarikh, masa, kod serta kertas peperiksaan mulai 1 April ini.

"Semua maklumat itu boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

"Jadual waktu peperiksaan SPM 2021 sesi kedua dan arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my pada 1 April ini.," kata KPM.

KPM juga mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan.

Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 dikeluarkan KPM selain prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara serta KKM. Ketetapan itu bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19.

Menurut jadual yang dikongsi KPM, Ujian Bertutur Bahasa Melayu dijadualkan pada 5 April diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (6 April); Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (pagi 7 April); Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (petang 7 April); Ujian Bertulis (11 April hingga 18 Mei) serta Ujian Amali Sains (19 Mei).

Berita Harian X