Sabtu, 26 March 2022 | 1:36pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, (tiga kiri) mencuba drone untuk menyembur racun selepas merasmikan Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis di Tanah Rendah di Mardi Kundang. - Foto NSTP/FATHIL ASRI
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, (tiga kiri) mencuba drone untuk menyembur racun selepas merasmikan Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis di Tanah Rendah di Mardi Kundang. - Foto NSTP/FATHIL ASRI

MAFI akan gubal dasar baharu penanaman jagung

RAWANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menggubal dasar baharu khusus bagi menggalakkan penanaman jagung, bertujuan mempertingkat sumber makanan negara serta bahan mentah untuk penghasilan makanan ayam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata malah MAFI giat mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak, terutama sektor swasta, bagi membangunkan ladang jagung secara besar-besaran di Malaysia.

Beliau berkata, dasar baharu itu nanti sekali gus akan memberi manfaat kepada negara untuk mengurangkan kebergantungan pada makanan import dari luar.

"Kita sedar mengenai kebergantungan negara terhadap import sumber makanan, justeru kajian sumber alternatif adalah perlu, terutama dalam usaha menangani kenaikan harga jagung.

"Ini adalah pendekatan baharu MAFI untuk menggalakkan penanaman jagung secara besar-besaran, malah dasar makanan baharu ini sedang diteliti secara mendalam, termasuk mengkaji dasar sedia ada.

"Kita akan turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi lain dalam usaha mengurangkan kebergantungan pada import bahan ternakan.

"Antaranya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta pihak swasta lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pakej Mekanisme Tanaman Kubis Tanah Rendah, di Kundang, di sini, hari ini.

Ronald mengulas laporan BH baru-baru ini mengenai penyelidik UPM mengemukakan empat syor bagi membantu kerajaan menangani isu bekalan dan harga ayam tempatan dalam jangka panjang.

Syor berkenaan ialah penggunaan isirong kelapa sawit (PKC) sebagai bahan alternatif dalam ramuan makanan ayam dan larva serangga 'black soldier fly' (BSF) bagi menggantikan penggunaan mil kacang soya, mewujudkan program perlindungan sosial kepada golongan sasar, serta mewujudkan stok penimbal bahan makanan penting.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, penanaman jagung di Malaysia tidak diberikan tumpuan oleh kerajaan seperti fokus terhadap penanaman padi yang mencapai pengeluaran beras hingga 70 peratus.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk MAFI menjayakan dasar baharu supaya penanaman jagung diketengahkan secara besar-besaran.

"Dasar baharu ini nanti tidak akan mengubah landskap pertanian negara, termasuk bukan menggantikan dasar penanaman padi.

"Sebaliknya, ia adalah dasar baharu untuk menggalakkan penanaman jagung secara besar-besaran, dan kita sudah berbincang dengan pihak swasta yang berminat ke arah itu," katanya.

Bagaimanapun, Ronald menjelaskan, MAFI tiada lagi menetapkan tempoh untuk pelaksanaan dasar penanaman jagung kerana ia masih pada peringkat perbincangan kementerian.

Mengulas syor pakar penyelidikan UPM pula, katanya, MAFI mengalu-alukan cadangan untuk memperkasakan pengeluaran sumber makanan negara, khususnya dalam usaha mengurangkan kebergantungan pada bahan makanan import.

Seterusnya mengenai program penanaman kubis tanah rata, beliau turut memuji usaha MARDI memperkenalkan pelbagai teknologi baharu untuk menambah pengeluaran tanaman itu serta memudahkan utusan petani.

"Dimaklumkan bahaya teknologi ini mampu menjimatkan kos kerana pengurangan tenaga buruh, selain menambah pengeluaran hingga 4,000 kilogram per hektar.

"Ia bertepatan Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang memperlihatkan teknologi moden dan terkini dalam rantaian makanan negara," katanya.

Berita Harian X