Sabtu, 26 March 2022 | 1:15pm
Aida Fazira (kanan) dan Aida Farzana (tengah) bersama adik membeli barang keperluan di kedai Koperasi UiTM Melaka Berhad di Lendu, Alor Gajah. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR
Aida Fazira (kanan) dan Aida Farzana (tengah) bersama adik membeli barang keperluan di kedai Koperasi UiTM Melaka Berhad di Lendu, Alor Gajah. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR

Pelajar UiTM teruja dapat kembali ke kampus

MELAKA: Selepas sekian lama hanya mengikuti pengajian dalam talian, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka gembira dapat kembali semula ke kampus hari ini.

Walaupun teruja menikmati suasana kampus berbanding belajar di rumah, mereka tetap berwaspada dan berhati-hati dalam mematuhi setiap peraturan bagi mengelak jangkitan COVID-19.

Aida Fazira Arifin, 19, antara siswazah yang menjejak kaki kali pertama ke kampus selepas hanya mengikuti pengajian secara dalam talian pada semester pertama.

Penuntut Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka itu yang memulakan pengajian semester kedua hari ini, mengakui seronok bertemu rakan-rakan dan pensyarah secara bersemuka dan tidak sabar untuk ke bilik kuliah.

"Sebelum ini, hanya bertemu rakan dan pensyarah secara dalam talian, jadi memang teruja dapat ke kampus dan berharap semua berjalan lancar menjelang fasa peralihan endemik 1 April ini.

"Kami tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan universiti termasuk ketika berada di kolej, bilik kuliah atau aktiviti kampus kerana ia penting menjelang era fasa peralihan endemik kelak," katanya yang sudah melengkapkan pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19.

Kakaknya, Aida Farzana, 25, yang baru menamatkan pengajian peringkat ijazah sains komputer dan matematik di UiTM Seremban, juga gembira adiknya dapat merasai suasana di kampus.

"Saya juga melalui pengajian secara dalam talian selama tiga semester sebelum tamat, baru-baru ini," katanya turut menasihatkan adiknya mengamal dan mematuhi SOP yang dikeluarkan pihak universiti.

Sementara itu, Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Melaka, Akmal Adnan, berkata SOP kemasukan pelajar ke kampus telah disusun mengikut kesesuaian dalam memastikan keselamatan dan keselesaan kepada mahasiswa dan ahli keluarga yang berurusan.

Katanya, pelajar dan ibu bapa diharap mendapat pengalaman yang baik semasa pendaftaran kemasukan sesi Mac-Julai 2022 di UiTM Kampus Alor Gajah, Kampus Jasin dan Kampus Bandaraya Melaka (KBM) di Jalan Hang Tuah.

Berita Harian X