Jumaat, 25 March 2022 | 9:31pm
Md Amin (kanan) bertukar dokumen perjanjian MPOB-UPSI dengan Ahmad Parveez di Bandar Baru Bangi, hari ini.
Md Amin (kanan) bertukar dokumen perjanjian MPOB-UPSI dengan Ahmad Parveez di Bandar Baru Bangi, hari ini.

MPOB, UPSI meterai kerjasama kepakaran penyelidikan

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi kerjasama, termasuk perkongsian kepakaran penyelidikan terutama dalam kajian pengekspresan dan pencirian enzim lipase daripada pokok sawit (Elaeis guineensis).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata memorandum perjanjian itu diharap memberi impak positif kepada UPSI, MPOB dan seterusnya industri sawit Malaysia terutama dalam memanfaatkan penemuan potensi enzim lipase daripada pokok sawit sebagai bio-pemangkin untuk aplikasi dalam pelbagai sektor.

Katanya, MPOB mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi berkaitan sawit terutama dalam program biak baka, genom, transgenik, proteomik dan metabolomik, fenolik dan program kultur tisu bagi memajukan sektor huluan sawit negara.

"Manakala UPSI pula mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi mikroorganisma.

"Kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar Sarjana Muda bidang bioteknologi UPSI untuk mendapatkan kepakaran dan menggunakan kemudahan penyelidikan di MPOB yang melaksanakan projek penyelidikan berkaitan sawit," katanya.

Pemeteraian MoA dua pihak itu adalah antara usaha MPOB dalam pembangunan kajian bidang bioteknologi berkaitan sawit dengan pembabitan Universiti Awam (UA) di Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata, ia juga sebagai usaha MPOB untukmelahirkan penyelidik yang akan membantu seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan mampan industri sawit negara.

"MoA ini akan menyediakan situasi menang-menang kepada MPOB dan UPSI sekali gus meningkatkan kemajuan industri sawit negara.

"Ini adalah termasuk usaha MPOB menjalankan penyelidikan dalam semua aspek sawit yang menghasilkan teknologi dan inovasi bagi kemajuan industri sawit negara," katanya.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi antara satu daripada pencapaian besar MPOB dalam bidang bioteknologi adalah penyelidikan kejuruteraan genetik yang menghasilkan pokok sawit transgenik (terubah suai genetik) dengan ciri-ciri baharu bernilai tinggi untuk meningkatkan pendapatan penanam daripada keluasan tanah yang sama.

Berita Harian X