Jumaat, 25 March 2022 | 3:39pm
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan

Perintah cerai, nafkah boleh keluar serentak jika ada persetujuan bersama

PUTRAJAYA: Cadangan supaya perintah perceraian dan nafkah dikeluarkan secara serentak oleh Mahkamah Syariah kepada pasangan yang mahu bercerai, hanya boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan bersama semua pihak yang terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Na'im Mokhtar, berkata dalam situasi pihak-pihak tidak bersetuju dengan terma tuntutan nafkah, ia memerlukan perbicaraan penuh dan mengambil tempoh yang lama.

Beliau berkata, mendepani situasi itu, Mahkamah Syariah akan menyelesaikan permohonan perceraian terlebih dahulu bagi memastikan status perkahwinan isteri tidak tergantung.

Katanya, ketika ini juga perintah perceraian dan nafkah sudah sedia dilaksanakan Mahkamah Syariah seluruh negara membabitkan pasangan yang mempunyai persetujuan bersama, ketika memfailkan perceraian termasuk dalam soal nafkah yang perlu dibayar bekas suami.

"Bagaimanapun, bagi pasangan yang tidak mencapai persetujuan bersama dalam isu nafkah, perintah perceraian dikeluarkan terlebih dahulu bagi mengelakkan tempoh penyelesaian kes berlarutan.

"Dalam hal ini, JKSM berusaha menjamin keadilan serta memelihara kemaslahatan kedua-dua belah pihak yang bertikai. Sehubungan itu, JKSM berpandangan tidak wajar mahkamah mengeluarkan perintah perceraian serentak dengan perintah nafkah dalam keadaan ketiadaan persetujuan bersama kerana tuntutan nafkah itu perlu dibicara dan dipertimbangkan oleh mahkamah secara terperinci," katanya pada sidang media isu tahanan pendapatan dan penghakiman perintah nafkah bersama perintah perceraian secara serentak, di sini, hari ini.

Mohd Na'im berkata, apabila kes berkenaan berlarutan ia boleh memanjangkan tempoh penyelesaian kes sekaligus membebankan emosi pihak terbabit.

Beliau berkata, apabila ada perbicaraan penuh, bekas isteri dan anak boleh mengemukakan bukti yang menunjukkan kemampuan bapa seperti harta yang dimiliki dan dalam masa sama mengemukakan keperluan mereka.

Mahkamah juga, katanya memerlukan masa untuk menilai keterangan dan bukti yang dikemukakan selain menimbangkan kemampuan bekas suami termasuk jika beliau sudah berkahwin semula serta tanggungannya dalam perkahwinan baharu.

"Dalam keadaan tidak ada persetujuan kedua-dua pihak, mahkamah perlu berlaku adil. Mahkamah perlu melihat kemampuan bekas suami sebelum mentafsir keperluan bekas isteri dan anak.

"Atas sebab itu JKSM mengesyorkan, atas dasar dianjurkan Islam, apabila berlaku pertikaian antara suami dan isteri untuk mereka mencari pendamaian dengan persetujuan kedua-dua pihak.

"Kita juga berharap supaya suami isteri berperanan permohonan penceraian dengan baik," katanya.

Selain itu, Mohd Na'im berkata, pihaknya juga mengesyorkan supaya peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak yang mahu bercerai untuk mencari jalan perdamaian bagi memudahkan proses berkenaan.

Pada masa sama, Mohd Na'im berkata, JKSM turut mencadangkan hakim syarie yang mendengar kes tuntutan nafkah menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada di negeri masing-masing bagi mengeluarkan perintah sementara mengikut jumlah munasabah, sementara menunggu jumlah nafkah sebenar yang akan diputuskan di akhir kes.

Katanya, hakim syarie juga boleh menggunakan Arahan Amalan Nombor 5 Tahun 2019 berhubung Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak dalam menyegerakan penyelesaian tuntutan nafkah itu.

Berdasarkan kepada arahan amalan itu, bapa perlu memberi nafkah pada kadar 23 peratus daripada gajinya bagi seorang anak, 33 peratus untuk dua anak; 40 peratus untuk tiga anak dan 53 peratus untuk empat atau lebih anak.

Sementara itu, Mohd Na'im menggalakkan Mahkamah Syariah di setiap negeri mempunyai mahkamah khas yang membicarakan kes nafkah seperti yang diwujudkan di Wilayah Persekutuan.

Berita Harian X