Khamis, 24 March 2022 | 1:23pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ladang jagung mega negara menjelang 2033

KUALA LUMPUR: Negara bakal memiliki ladang jagung mega menjelang 2033 dengan pengeluaran hasil besar tanaman itu, sekali gus dapat digunakan untuk menghasilkan makanan unggas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata dengan rancangan jangka panjang itu, ia disasarkan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan import yang berdepan ketidaktentuan sehingga harga naik mendadak.

Beliau berkata, jagung selaku bahan mentah import untuk dijadikan makanan ayam mengalami kenaikan harga ketara sehingga 110 peratus sejak 2020 sehingga sekarang.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ketika ini bukan sahaja giat menjalankan pelbagai penyelidikan, bahkan berjaya menghasilkan makanan ternakan seperti untuk ayam ataupun unggas yang dihasilkan oleh MARDI.

"Tetapi kita masih menjalankan kajian supaya kita dapat menambah baik seperti kita nak imbangkan lagi kandungan nutrien supaya makanan yang kita bagi betul-betul berkhasiat kepada ayam yang dibela.

"Bagi mengurangkan kebergantungan makanan asing atau sumber luar, bahkan kita sekarang mahu mengurangkan lagi kebergantungan negara terutama terhadap jagung dengan menjalankan penanaman jagung secara besar-besaran.

"Unjuran kita menjelang 2033, kita akan mempunyai sebanyak 80,000 hektar tanaman jagung dan kita tidak lagi (ketika itu) bergantung kepada sumber dari luar," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai adakah MAFI mempunyai rancangan supaya untuk tempoh tiga hingga empat tahun lagi, Malaysia dapat menghasilkan makanan buat sendiri bagi mengelak terlalu bergantung bahan import.

Ahmad berkata, sememangnya terdapat usaha untuk meningkatkan penggunaan sumber barangan tempatan dengan menggunakan dedak, beras hancur, beras temukut dan dedak padi dan sisa sawit (PKC) sebagai formulasi untuk penghasilan makanan ayam.

Katanya, ia dibangunkan oleh MARDI bermatlamat untuk menjadi sumber makanan baharu untuk unggas.

Bagaimanapun, katanya, formulasi itu menghadapi sedikit kekangan kerana kandungan nutrien dalam sumber berkenaan merangkumi karbohidrat dan protein berdepan banyak kekurangan sekali gus tidak dapat memenuhi keperluan nutrien harian ayam.

"Ini kerana kandungan serat yang agak tinggi pada lapan hingga 13 peratus yang menjadikannya sukar untuk dicerna oleh sistem penghadaman ayam.

"Bagaimanapun, kajian terus dapat giat dilaksanakan oleh MARDI dengan sebuah syarikat swasta yang lain melalui penggunaan teknologi mikrob dan bioteknologi supaya kandungan nutriennya dapat dikurangkan dan diharapkan ia dapat dihasilkan seperti yang kita harapkan," katanya.

Berita Harian X