X
Khamis, 24 March 2022 | 11:26am
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua kiri) melihat cara penyediaan ikan talapia oleh Chef Mohd Ridzuan Mohd Mokhtar (kiri) pada Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Serentak Seluruh Negara dan Kempen Jom Makan Ikan Air Tawar di Anjung Alaf Baru, Tasik Putrajaya hari ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua kiri) melihat cara penyediaan ikan talapia oleh Chef Mohd Ridzuan Mohd Mokhtar (kiri) pada Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Serentak Seluruh Negara dan Kempen Jom Makan Ikan Air Tawar di Anjung Alaf Baru, Tasik Putrajaya hari ini.

Sektor perikanan air tawar berpotensi dikomersialkan - Ronald

PUTRAJAYA: Sektor penternakan ikan air tawar di negara ini berpotensi besar untuk dipromosikan ke peringkat antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata ini kerana negara ini mempunyai tasik atau 'water bodies' yang boleh diterokai oleh pihak industri.

"Jika bercakap soal sektor akuakultur, ia akan membabitkan ternakan, sangkar, kolam dan air tawar. Perkara ini juga ada ditekankan dalam Dasar Agromakanan 2.0, ini bagi mengimbangi bidang perikanan dalam sangkar," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Benih Ikan serentak di seluruh negara serta Kempen 'Jom Makan Ikan Air Tawar' di sini, hari ini.

Mengenai majlis berkenaan, sebanyak 1.85 juta ekor benih ikan bernilai RM900,000 dilepaskan di seluruh negara, ia bertujuan untuk menambah stok perikanan ikan air tawar di negara ini.

Antara jenis ikan yang dilepaskan ialah kelah, temoleh, lampam sungai, baung, terbul, siakap dan udang galah.

Dalam majlis yang sama, Ronald turut melantik penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah sebagai Ikon Konservasi Sumber Perikanan yang akan terbabit sama dalam mempromosikan program atau aktiviti perikanan terutamanya dalam industri ikan hiasan dan produk hiliran.

Pelantikan Jamal bertepatan berikutan beliau turut mengusahakan kolam ternakan ikan arowana yang terletak di Bukit Merah sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber di Jabatan Perikanan, Bohari Long menasihatkan masyarakat yang memiliki ikan asing sebagai ikan peliharaan untuk tidak melepaskan ternakan berkenaan di perairan umum.

"Tindakan itu akan menyebabkan ikan di kawasan berkenaan menjadi mangsa kepada ikan asing yang bersifat agresif. Selain itu jika dibiarkan, sebahagian ikan asing berkenaan juga akan menjadi dominan kerana ia lebih tahan dan cepat membesar serta agresif, ia secara langsung akan makan ikan asli yang berada di dalam sungai atau pun tasik," katanya.

Beliau berkata, tidak salah untuk menternak ikan asing berkenaan, namun tindakan untuk melepaskannya di dalam perairan umum selepas tidak lagi mampu membelanya menjadi isu besar kepada pihaknya.

"Contohnya ikan keli afrika, ia diternak semasa kecil namun semakin lama ternakan itu akan menjadi besar sehingga tidak mampu lagi dibela, maka ada sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab ini mengambil tindakan untuk melepaskannya di perairan umum.

"Ada juga budaya melepaskan ikan ke dalam sungai sekiranya mempunyai sesuatu hajat, jadi mereka melepaskan ikan berkenaan. Kita tidak menentang budaya berkenaan namun, diharapkan mereka mendapatkan nasihat daripada pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan berkenaan," katanya.

Berita Harian X