Khamis, 24 March 2022 | 11:20am
Pengeluaran KWSP harus digunakan sebagai pilihan terakhir dan dalam situasi kecemasan sahaja -NSTP/Faiz Anuar
Pengeluaran KWSP harus digunakan sebagai pilihan terakhir dan dalam situasi kecemasan sahaja -NSTP/Faiz Anuar

Pengeluaran khas KWSP adalah pilihan terakhir

KUALA LUMPUR: Kebiasaannya peraturan biasa yang perlu dipatuhi oleh setiap pekerja adalah tidak menyentuh dana persaraan mereka, tidak kira apa juga yang berlaku.

Namun begitu, bukan semua orang memiliki kemampuan kewangan untuk bertahan dengan kejutan ekonomi yang diakibatkan oleh peristiwa besar seperti pandemik COVID-19 dan langkah sekatan pergerakan untuk membendungnya.

Ekonomi Malaysia terjejas teruk akibat daripada penularan pandemik dengan kadar pengangguran naik mendadak kepada 5.3 peratus pada Mei 2020.

Bagaimanapun, impak ekonomi mula berkurangan pada suku keempat 2021 apabila kadar pengangguran susut kepada 4.3 peratus pada suku terbabit, paras terendah sejak pandemik itu melanda negara, apabila permintaan terhadap tenaga kerja meningkat kembali di tengah-tengah pemulihan ekonomi.

Ringgit juga turut terkena tempias dan terjejas teruk akibat daripada pandemik.

Penurunan nilai mata wang menjejaskan kuasa beli rakyat Malaysia apabila lebih banyak wang kertas tempatan diperlukan untuk ditukarkan kepada dolar AS.

Ini bermakna, taraf hidup rakyat Malaysia akan menurun disebabkan kuasa beli yang rendah.

Bagi sesetengah orang, pelan persaraan kekal menjadi satu impian. Kita tidak boleh melabur pada masa depan sekiranya keadaan kewangan pada masa sekarang kurang baik.

Sebagai contoh, ketika ini, 48 peratus daripada 6.1 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah usia 55 mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam dana persaraan mereka.

Dalam usaha terbaharu untuk membantu mereka yang memerlukan, kerajaan membenarkan sekali lagi pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000. Adakah ini langkah yang wajar?

Sebelum pengeluaran terbaharu ini, kerajaan membenarkan penyimpan KWSP untuk mengeluarkan sehingga RM71,000 daripada dana persaraan mereka menerusi tiga program pengeluaran KWSP, yang secara kolektifnya berjumlah RM101 bilion.

Seperti yang diketengahkan oleh KWSP, ini menyebabkan sejumlah 6.1 juta ahli kini memiliki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam dana persaraan mereka.

Dana persaraan itu menekankan bahawa setakat Oktober 2021, seramai 3.6 juta pencarum memiliki kurang daripada RM1,000 dalam akaun mereka.

Dalam kumpulan ini, dua juta ahli Bumiputera memiliki simpanan kurang daripada RM1,000.

CGS-CIMB Research berkata, walaupun pengeluaran RM10,000 kali ini akan memberikan kesan jangka pendek yang positif, ia juga berpotensi memburukkan lagi krisis persaraan yang sekarang ini diibaratkan seperti 'bom jangka' dan tiga pengeluaran sebelum ini menyebabkan usaha mencapai matlamat simpanan asas terencat ke belakang selama lebih dari 10 tahun.

Sejak pandemik bermula, simpanan median bagi ahli berusia 54 tahun merosot kepada RM37,000 setakat Disember 2021 berbanding RM41,000 sebelum COVID-19, jauh daripada simpanan asas yang disyorkan oleh KWSP iaitu sebanyak RM240,000 jika seseorang itu mahu menghabiskan purata RM1,000 sebulan untuk selama 20 tahun selepas bersara.

"Malah, keperluan penjimatan asas adalah berdasarkan garis pendapatan isi rumah terendah iaitu RM930 setiap bulan, anggaran yang agak sederhana," kata firma pembrokeran itu dalam satu nota penyelidikan.

Hanya 27 peratus daripada ahli aktif KWSP mampu memenuhi keperluan penjimatan asas berbanding 36 peratus sebelum pandemik.

Justeru, dalam persekitaran pemulihan ekonomi ketika ini, pengeluaran KWSP sepatutnya digunakan dalam situasi kecemasan dan hanya sebagai pilihan terakhir.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) percaya bahawa keputusan untuk membenarkan pengeluaran KWSP tidak didasarkan pada logik ekonomi yang kukuh tetapi sebagai tindak balas yang menurut kepada agenda politik.

Badan pemikir itu menjelaskan, langkah jangka pendek berkenaan akan memberikan kesan buruk jangka panjang serta menggesa pemimpin politik untuk mempertimbangkan kesan negatif seperti dasar yang diperlukan bagi pesara dan generasi akan datang.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata KWSP perlu melupuskan beberapa pelaburannya di luar negara termasuk menangguhkan pelaburan domestik dalam jangka pendek dan sederhana jika satu lagi pengeluaran RM10,000 dibenarkan.

Profesor Madya Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyamakan penjualan aset portfolio luar negara KWSP sebagai 'memusnahkan sumber pendapatan penting' kerana KWSP mengumumkan bahawa 37 peratus daripada pendapatan pelaburannya pada 2021 datang dari luar negara kerana hasil dalam pasaran domestik kurang menggalakkan.

"Oleh itu, jika KWSP terpaksa menjual lebih banyak portfolionya di luar negara, ini akan menjejaskan sumbangannya kepada pendapatan KWSP dalam jangka panjang.

"Ekonomi global dan iklim kewangan pula masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik COVID-19," katanya kepada Bernama.

Aimi juga menjelaskan, konflik Russia-Ukraine turut menyebabkan harga komoditi seperti minyak mentah melonjak sehingga mencetuskan inflasi yang tinggi, yang mana kadar inflasi Amerika Syarikat (AS) sebanyak 7.9 peratus pada Februari 2022 adalah yang tertinggi dalam empat dekad.

"Jadi, dengan tekanan inflasi yang agak tinggi, mana-mana pengurus dana seperti KWSP perlu bekerja keras, yang bukan sahaja perlu melabur secara strategik untuk mendapatkan pulangan yang baik tetapi juga melindungi simpanan pencarum," katanya.

Menaikkan gaji minimum, memastikan terdapat pekerjaan yang mencukupi di pasaran, dan menangani kenaikan harga barang keperluan akan menjadi kaedah yang lebih baik bagi melindungi tenaga kerja.

Kerajaan baru sahaja mengumumkan dasar gaji minimum RM1,500 yang sangat dinanti-nantikan yang akan dilaksanakan pada 1 Mei.

Aimi berkata, jaringan keselamatan sosial yang baharu diperlukan memandangkan Malaysia semakin pantas menjadi negara yang semakin menua, walaupun mengikut piawaian global, menurut unjuran Bank Dunia.

"Statistik suram walaupun sebelum kelulusan pengeluaran sekali sebanyak RM10,000 diberikan; sebanyak 6.7 juta pencarum mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP masing-masing.

"Selain itu, fakta yang sangat menakutkan didedahkan bahawa daripada 6.7 juta itu, kira-kira 60 peratus hampir tidak mempunyai apa-apa wang dalam akaun mereka," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa kelulusan terkini pengeluaran RM10,000 sekali sahaja akan mengurangkan lagi tabungan KWSP dan memberi kesan kepada portfolio pelaburan dana persaraan.

"Ini memerlukan tindakan yang seimbang, tetapi situasi yang membimbangkan ialah krisis besar dalam persaraan pada beberapa tahun akan datang," katanya.

Beliau menambah bahawa realitinya adalah lebih sukar kerana peningkatan kos sara hidup di Malaysia lebih cepat daripada pertumbuhan pendapatan.

"Sudah tentu, hampir mustahil untuk bergantung kepada baki minimum selepas pengeluaran KWSP dan pada perspektif saya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada KWSP untuk persaraan mereka," katanya'

Menurut data Bank Dunia, Malaysia menjadi masyarakat yang semakin menua pada tahun 2020, dengan kira-kira tujuh peratus daripada populasi berumur 65 tahun ke atas.

Berdasarkan unjuran terkini, Malaysia akan menjadi 'masyarakat menua' menjelang 2044 dengan lebih 14 peratus penduduknya berumur 65 tahun ke atas.

Pengarah Ekonomi dan Perniagaan IDEAS, Juita Mohamad, menegaskan bahawa adalah penting populasi pesara Malaysia yang semakin bertambah mempunyai 'sandaran' yang mencukupi apabila mereka bersara.

"Dengan ekonomi yang semakin pulih dan pasaran pekerjaan semakin kukuh tanpa sekatan, IDEAS percaya bahawa pengeluaran KWSP harus digunakan sebagai pilihan terakhir dan dalam situasi kecemasan sahaja," katanya sambil menambah terdapat pelbagai dana sedia ada yang boleh digunakan di peringkat Persekutuan dan juga negeri, seperti dana zakat dan Tabung Bantuan Bencana Negara.

-BERNAMA

Berita Harian X