Khamis, 24 March 2022 | 11:05am
Negara perlu memiliki kawasan berhutan sebanyak 50 peratus menjelang 2040, sebagai antara usaha konservasi spesies hidupan liar, terutama harimau Malaya yang diancam kepupusan. - Foto fail NSTP
Negara perlu memiliki kawasan berhutan sebanyak 50 peratus menjelang 2040, sebagai antara usaha konservasi spesies hidupan liar, terutama harimau Malaya yang diancam kepupusan. - Foto fail NSTP

Sasar kawasan berhutan 50 peratus untuk konservasi Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Negara perlu memiliki kawasan berhutan sebanyak 50 peratus menjelang 2040, sebagai antara usaha konservasi spesies hidupan liar, terutama Harimau Malaya yang diancam kepupusan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ketika ini kawasan berhutan negara cuma mempunyai tidak sampai 45 peratus.

Beliau berkata, itu antara usaha kerajaan menerusi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ke arah mengekalkan kewujudan Harimau Malaya yang menjadi spesies ikonik negara.

"Antara langkah diambil untuk meningkatkan kawasan berhutan yang mana sedia ada di Semenanjung Malaysia sekarang sekitar 43.4 peratus.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"Dalam Rancangan Fizikal Negara Keempat menetapkan menjelang 2040, negara kita perlu ada kawasan berhutan sebanyak 50 peratus," katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai langkah spesifik kerajaan supaya spesies terancam seperti Harimau Malayayang dikatakan hanya memiliki populasi sekitar 200 ekor tidak dibunuh dan menjadi spesies terancam.

Takiyuddin berkata, terdapat tidak lebih 150 Harimau Malaya ketika ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata langkah lain diambil oleh kerajaan adalah dengan menubuhkan satu organisasi yang dinamakan Pasukan Petugas Khas Kebangsaan bagi konservasi Harimau Malaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Jelasnya, Perdana Menteri sudahpun mengadakan beberapa kali mesyuarat dan menetapkan beberapa langkah untuk dilaksanakan.

"Antara langkah yang diambil adalah mempergiatkan pengawasan di lapangan yang membabitkan PERHILITAN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi penguatkuasa, veteran ATM, veteran PDRM dan komuniti Orang Asli.

"Ini adalah untuk menjaga kewujudan Harimau Malaysia di habitatnya terutamanya. Kedua, mengekal dan mengukuhkan habitat Harimau Malaya melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan seta aktiviti pemburuan haram," katanya.

Beliau berkata, langkah konservasi lain diambil kerajaan adalah dengan memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan insentif kepada negeri yang menjaga hutan mereka.

Selain itu, katanya terdapat pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya yang dinamakan Ekological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) yang diperuntukan dalam belanjawan setiap tahun.

"Ia akan diagihkan kepada negeri-negeri melalui kajian sejauh mana mereka menjaga hutan-hutan ini. Ini semua adalah untuk melakukan tindakan ke arah mengekalkan kewujudan Harimau Malaya di dalam hutan kita," katanya.

Berita Harian X