Rabu, 23 March 2022 | 11:40pm
Datuk Hajiji Noor (kanan) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin. - Foto NSTP
Datuk Hajiji Noor (kanan) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin. - Foto NSTP

'Tidur bantal berbeza, mimpi tetap sama'

KOTA KINABALU: Menggunakan kiasan yang mudah difahami, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, hari ini menggambarkan hubungannya dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, ibarat 'tidur bantal yang lain, namun mimpi tetap sama'.

Bung Moktar menegaskan, hubungan Barisan Nasional (BN) Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap kukuh walaupun tidak bersama membentuk gabungan berkenaan selepas didaftar secara rasmi, baru-baru ini.

Pengerusi BN Sabah itu menggunakan kiasan berkenaan dalam mukadimah ucapan penggulungan perbahasan Kementerian Kerja Raya Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlarutan hingga jam 8.30 malam ini.

Walaupun BN tidak berada secara langsung dalam GRS, Bung Moktar berkata, hubungan kerjasama dengan gabungan berkenaan termasuk Hajiji selaku Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, tetap kukuh.

"Antara (ADUN) Sulaman dan Lamag, walaupun tidur di bantal yang lain, mimpi kami tetap sama," katanya ketika menggambarkan hubungannya dengan Hajiji.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, adalah ADUN Lamag dalam Parlimen Kinabatangan yang turut diwakilinya di Dewan Rakyat.

Hajiji baru-baru ini mengumumkan kelulusan pendaftaran GRS oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) membabitkan penyertaan empat parti iaitu BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Bung Moktar berkata GRS adalah landasan yang baik dan BN tetap menyokongnya walaupun tidak berada dalam gabungan itu.

"GRS adalah 'platform' yang baik, walaupun BN bukan pendukung GRS secara 'direct' (langsung) sebab BN ini ada komponen lain, kita sentiasa sokong," katanya.

Bung Moktar berkata, tempoh kerajaan terdahulu yang singkat menyebabkan ramai pemimpin tidak fokus membangunkan negeri.

Justeru, katanya, BN muncul untuk menstabilkan politik dan memastikan kemakmuran berterusan dapat diwujudkan di Sabah dan bersama menyelesaikan tiga masalah utama di negeri itu ialah bekalan air, jalan raya dan elektrik.

Berita Harian X