Rabu, 23 March 2022 | 3:30pm
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. - Foto NSTP/GHAZALI KORI

Terengganu bantu pelabur dapat kelulusan segera

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mewujudkan jawatankuasa 'fast track' atau laluan pantas bagi mengatasi isu kelewatan kelulusan projek yang sering dialami pelabur.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata jawatankuasa itu akan membantu dan memantau bagi memastikan setiap projek pelaburan yang dijalankan mendapat kelulusan segera.

"Antara cabaran besar yang selalu dihadapi dalam kalangan pelabur ialah proses mendapatkan kelulusan di peringkat awal hingga kilang didirikan. Jawatankuasa 'fast track' akan bertindak sebagai pemantau dan membantu dari segi mendapatkan kelulusan cepat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi permohonan pelaburan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan menawarkan beberapa insentif bagi menarik pelabur ke Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) di Kertih, termasuk menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau berkata, antara insentif di sektor pembuatan ialah pengecualian cukai sebanyak 70 peratus atau 100 peratus untuk satu tahun atau 15 tahun bergantung kepada servis, industri atau produk.

"Elaun cukai 100 peratus daripada nilai perbelanjaan modal turut ditawarkan untuk tempoh lima tahun, serta pengecualian duti setem berkaitan pengambilalihan tanah dan pembangunan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa mengutamakan rakyat tempatan menerusi penempatan syarat sebanyak 70 peratus daripada pekerja dalam mana-mana perusahaan di kawasan perindustrian di Terengganu perlu terdiri daripada rakyat negeri itu.

Katanya, projek yang berpotensi tinggi dalam sektor hiliran dan sektor petrokimia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.

Berita Harian X