Rabu, 23 March 2022 | 2:37pm
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama

Pelan insurans keluarga miskin hilang pendapatan - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Rakyat miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian ketua isi rumah (KIR) bakal dilindungi pelan perlindungan insurans yang akan dilaksanakan kerajaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, Pelan Perlindungan Insurans Kepada Isi Rumah (IR) Miskin dengan peruntukan RM13.4 juta setahun itu akan membabitkan kira-kira 268,000 keluarga miskin yang berdaftar dalam e-Kasih.

Beliau berkata, ia antara empat tindakan yang bakal dilaksanakan bagi memperkukuhkan sistem perlindungan sosial negara.

Katanya, kerajaan menerusi Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) sudah mengenal pasti mekanisme perlindungan sosial yang lebih dinamik, fleksibel serta mampu bertindak balas dengan sebarang risiko yang dihadapi Keluarga Malaysia.

"Mesyuarat MySPC Bilangan 1 Tahun 2022 pada hari ini bersetuju mengambil tindakan memperkasakan agenda perlindungan sosial sehingga ke peringkat daerah pentadbiran menerusi Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial Negeri (JTPSNg) bagi menyelaras Pemetaan Program dan Profil Perlindungan Sosial Fasa 2.

"Kerajaan akan meningkatkan tahap sosioekonomi Keluarga Malaysia dengan memberi nilai tambah dan tumpuan kepada Program Peningkatan Pendapatan kepada KIR Miskin dan Miskin Tegar yang berdaftar dalam e-Kasih.

"Kerajaan akan menyediakan Pelan Perlindungan Insurans Kepada IR Miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian KIR membabitkan kira-kira 268,000 keluarga miskin yang berdaftar dalam eKasih. Setiap IR akan menerima RM10,000 dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta setahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat MySPC juga bersetuju Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi Meningkatkan Produktiviti.

Tidak menyatakan tempoh masa bila semua tindakan itu akan dilaksanakan, Ismail Sabri berkata, pandemik yang melanda menyedarkan semua pihak mengenai kelemahan sistem perlindungan sosial kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Beliau berkata, sejak dua tahun lalu, pandemik mengakibatkan ekonomi negara terjejas, perniagaan tidak dapat beroperasi dengan sebaiknya dan ramai kehilangan pekerjaan hingga menyebabkan ada yang terjerumus ke dalam kelompok kemiskinan.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, MySPC hari ini turut melancarkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1: Bantuan Sosial (Persekutuan), membabitkan 167 program daripada 17 kementerian dan agensi.

Katanya, ia mengandungi 13.7 juta data profil individu penerima manfaat sehingga 2020 dan program-program perlindungan sosial merentasi pelbagai kementerian dan agensi yang terbabit.

"PDPS akan menjadi 'single gateway' serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial yang meliputi elemen Pekerjaan, Insurans Sosial dan Bantuan Sosial.

"Akses penuh sistem ini kepada orang awam dan semua pihak berkepentingan akan dibuka selepas Modul Insurans Sosial dan Intervensi Pasaran Buruh siap dibangunkan selepas 2023," katanya.

Beliau berkata, langkah yang diputuskan dalam mesyuarat berkenaan bakal membantu memantapkan agenda perlindungan sosial untuk mencapai sasaran sifar miskin tegar menjelang 2025 seperti dihasratkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Berita Harian X