Rabu, 23 March 2022 | 11:31am
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Semak semula tugas penjawat awam - KPPA

PUTRAJAYA: Deskripsi tugas penjawat awam perlu disemak semula untuk menangani isu rasuah dan integriti dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, berkata apabila seseorang kakitangan awam diambil bekerja, mereka perlu memenuhi kriteria, termasuk kelayakan fizikal dan akademik serta perwatakan.

Beliau berkata, perkhidmatan awam juga sentiasa menanam nilai baik dalam kalangan penjawat awam, melalui kursus serta latihan semula.

Atas sebab itu, katanya, penjawat awam sentiasa diingatkan supaya patuh dengan peraturan sedia ada.

"Saya setuju untuk disemak semula deskripsi tugas penjawat awam. Mungkin pekeliling yang nak dikuatkuasakan itu perlu diubah kerana tidak relevan lagi.

"Jadi, kita kurangkan punca berlakunya rasuah itu sendiri," katanya pada sidang media selepas perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.

Mohd Shafiq, yang mewakili Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata teknologi boleh digunakan sebagai antara cara untuk mengurangkan perbuatan rasuah dalam kalangan penguatkuasa jabatan dan agensi.

Berita Harian X