Rabu, 23 March 2022 | 10:33am

Pantau pemilikan rumah, isu atlet digugurkan antara tumpuan di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memantau pemilikan dan penyewaan rumah selaras kos sara hidup dan pendapatan rakyat dijangka menjadi antara tumpuan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat pada laman rasmi Parlimen, isu berkenaan akan diajukan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika sesi soal jawab.

William Leong Jee Keen (PH-Selayang) pula dijadual bertanyakan Menteri Belia dan Sukan mengenai perincian 144 atlet digugurkan disebabkan potongan belanjawan dan keputusan untuk memotong elaun atlet.

Jee Keen juga ingin tahu mengenai kriteria untuk mengenal pasti atlet yang berpotensi terbaik bagi memenangi pingat.

Turut tersenarai, soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) kepada Menteri Kesihatan mengenai pendirian kerajaan terhadap kontrak doktor dan jururawat untuk memanjangkan kontrak tahunan dari dua tahun ke empat tahun dengan peningkatan kes COVID-19 yang dihadapi oleh negara.

Selain itu, pertanyaan berhubung jumlah kos dibayar kepada ejen pengambilan pekerja domestik Indonesia sebelum pandemik COVID-19 dan bilangan agensi terbabit dalam pengambilan pekerja migran dari Bangladesh akan diajukan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) kepada Menteri Sumber Manusia.

Kasthuriraani juga ingin tahu langkah akan diambil kerajaan terhadap sindiket yang memonopoli, mengeksploitasi dan mengawal kemasukan pekerja migran ke Malaysia.

Selesai sesi itu, persidangan akan bersambung dengan pembentangan usul oleh Menteri Dalam Negeri mengenai lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, mulai dari 31 Julai 2022.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi pembentangan untuk bacaan kali kedua bagi Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022, RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 dan RUU undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2022.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berakhir esok.

– BERNAMA

Berita Harian X