Selasa, 22 March 2022 | 11:59pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto fail NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto fail NSTP

Minat terhadap STEM kekal isu besar

KUALA LUMPUR: Minat kalangan pelajar terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin berkurangan dan kekal menjadi satu isu besar untuk Malaysia menjadi negara maju.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata bidang perniagaan, perakaunan dan kewangan di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara kekal sebagai pilihan utama pelajar Malaysia, tetapi bukan STEM.

"Kita juga mendapati sebilangan universiti sukar untuk mengambil pelajar bagi mengisi kuota mereka dalam STEM. Saya memuji Petrosains yang telah melaksanakan peranan penting dalam memupuk minat orang ramai dengan menjadikan pembelajaran STEM sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan interaktif," katanya sebelum menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyDigital Corporation dan Petrosains Sdn Bhd.

Pemeteraian MoU itu menandakan perkongsian kedua-dua pihak untuk merealisasikan visi dan objektif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Mengenai MoU tersebut, Mustapa berkata penyertaan sektor swasta merupakan kriteria utama bagi kejayaan MDEB dan Dasar 4IR Negara yang dilancarkan tahun lepas.

"Perkongsian antara MyDigital dan Petrosains adalah manifestasi perkongsian awam-swasta yang akan memacu dan mempercepat agenda kedua-dua inisiatif itu, terutama dalam ia membantu menambah baik pendidikan dan meningkatkan penyertaan orang ramai.

"Memandangkan lebih banyak perkongsian berada dalam perancangan MyDigital, saya amat yakin kita akan mencapai objektif untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang terangkum, bertanggungjawab dan mampan menjelang 2030," katanya.

'MyDigital 4IR Experience Centre' dan 'MyDigital Maker Studio' di Petrosains, Discovery Centre yang terletak di Menara Berkembar Petronas di sini turut dilancarkan pada majlis itu.

Pusat pembelajaran tersebut dilengkapi titik sentuh interaktif dan nyata untuk orang ramai lebih mengetahui kesan teknologi digital dan 4IR seperti robotik, percetakan 3D, Internet Pelbagai Benda dan Pembelajaran Mesin.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad berkata Petrosains percaya bahawa pendekatan pembelajaran yang berjaya menggabungkan fokus pengalaman, dengan kaedah praktikal yang menggunakan kemahiran dan pengetahuan berkaitan secara langsung.

"Matlamat yang diharapkan adalah membangunkan tenaga kerja sedia masa depan, iaitu dengan kemahiran yang boleh melaksanakan strategi untuk mengatasi cabaran masa depan, seperti kefasihah digital, celik data dan cara kerja yang cekap.

"Ini memenuhi matlamat lebih besar untuk memberi kemahiran tambahan kepada tenaga kerja negara ke arah ekonomi yang lebih kukuh dan kemajuan untuk semua, di mana tiada siapa yang terpinggir," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X