Isnin, 21 March 2022 | 3:55pm

TVET Junior bagi pelajar dalami kemahiran asas

PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui GiatMARA memperkenalkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Junior di seluruh negara, secara berperingkat mulai tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata untuk permulaan, pihaknya menyasarkan seramai 5,000 pelajar berusia 12 tahun hingga 16 tahun mengikuti kursus asas jangka pendek yang ditawarkan di 231 GiatMARA seluruh negara.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 55 pelajar sudah menerima kursus latihan asas TVET di GiatMARA Padang Terap selama lima hari selepas ia dilancarkan pada 13 Mac lalu.

"Menerusi program TVET Junior, pelajar menjalani latihan atau kursus asas jangka pendek selama dua atau tiga hari pada hujung minggu atau cuti sekolah.

"Antara kursus yang ditawarkan adalah asas kemahiran seperti pendawaian elektrik, membaiki basikal, latihan masakan seperti membuat kek dan jahitan. Tujuannya adalah untuk beri pendedahan awal kepada mereka mengenai TVET, selain mereka boleh buat sendiri di rumah jika berlaku kerosakan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Walkabout dan Penyampaian Sijil TVET Junior@Padang Terap di GiatMARA Padang Terap, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihaknya berharap program itu dapat menarik minat lebih ramai pelajar untuk mengikuti program TVET sehingga peringkat tertinggi bagi memenuhi permintaan industri.

Katanya, GiatMARA turut bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta ketua kampung bagi memudahkan pelajar yang berminat menyertai program berkenaan.

Beliau berkata, program itu dilaksanakan secara berperingkat, mengikut kemampuan kerana ia membabitkan modal untuk membeli bahan latihan kepada pelajar terbabit.

"Kita juga sediakan makan minum serta sijil. Selepas tamat kursus, pelajar boleh pilih sama ada mahu teruskan belajar kemahiran ke peringkat tertinggi atau belajar dalam akademik," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, KPLB sedia memainkan peranan dalam memacu kolaborasi antara institusi TVET, kerajaan dan industri.

"Kita faham kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika melancarkan Badan Koordinasi TVET-Kerajaan-Industri (GITC), baru-baru ini.

"Jadi, kita akan pastikan pelajar mampu penuhi kehendak industri seperti dalam bidang minyak dan gas, automotif dan perkapalan," katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, bergambar dengan sebahagian pelatih Program TVET Junior di GiatMARA Padang Terap. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, bergambar dengan sebahagian pelatih Program TVET Junior di GiatMARA Padang Terap. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X