Isnin, 21 March 2022 | 1:24pm
Pengundi muda perlu dibantu untuk memahami politik. - Foto hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pengundi muda perlu dibantu untuk memahami politik. - Foto hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Bimbing anak muda faham politik

KUALA LUMPUR: Anak muda perlu dibimbing supaya memiliki tahap literasi politik untuk memahami amalan demokrasi membina, sistem kerajaan dan pentadbiran, proses pembentukan kerajaan serta elemen yang wajib ada pada pemimpin.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah keputusan kerajaan menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun perlu dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi ditafsirkan sebagai peluang yang memberi kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin serta mencorakkan kerajaan.

"Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki jati diri dan nilai moral yang betul, berpaksikan undang-undang, menolak rasuah dan sogokan, memiliki kematangan menilai di antara yang makruf dengan mungkar, arif membezakan di antara fakta dengan fitnah serta bijaksana mengenali di antara permata dengan kaca.

"Anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen kenegaraan dan tatanegara.

"Justeru, pembentukan sahsiah dan jati diri perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara," titah baginda.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah ketika berkenan melancarkan buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir', di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dan pengarang bersama buku, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman serta Dr G Manimaran.

Sultan Nazrin bertitah, susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had usia layak mengundi, lebih tujuh juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), meningkatkan bilangan pengundi sebanyak lebih 50 peratus, berbanding PRU-14.

"Diunjurkan, seramai 15 juta atau 66 peratus pengundi berada dalam zon usia 18 hingga 40 tahun, bermakna golongan muda akan memiliki suara politik yang lebih dominan untuk memilih pemimpin dan menentukan kerajaan," titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah, mengingatkan barisan kepemimpinan parti politik supaya bertanggungjawab memastikan pilihan raya tidak menjadi medan pencetus yang boleh menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian rakyat.

"Isu sensasi yang menyalakan bara perkauman dan meniupkan sentimen agama yang dieksploitasi dalam hasrat meraih undi semasa berkempen, laksana racun yang mengembalikan bisa pertelingkahan dan pastinya menambah sulitkan usaha untuk penyatupaduan.

"Ia akan lebih memisahkan dan merenggangkan hubungan warga yang berbilang latar belakang, sekali gus membatalkan apa juga usaha yang dicapai untuk membina sebuah negara bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera," titah baginda.

Berita Harian X