Isnin, 21 March 2022 | 1:15pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto fail
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto fail

SPR perlu bebas pengaruh kerajaan, parti politik - Sultan Perak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu berfungsi sebagai sebuah badan yang bebas daripada pengaruh kerajaan mahupun parti politik, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, SPR sebagai badan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, wajib menjunjung titah ketaatsetiaan dengan menguruskan pilihan raya secara boleh dipercayai, bebas dan adil, berkecuali dan tanpa memihak, serta mengamalkan kesaksamaan yang tidak boleh dipertikaikan dan ketelusan yang tidak akan diragui.

"SPR ibarat pengadil yang mengendalikan urusan persaingan antara calon dan parti politik ketika berlangsungnya pilihan raya.

"Justeru, SPR wajib pada setiap masa bersikap berkecuali, tanpa memihak dan kelihatan secara nyata tanpa ragu bersikap berkecuali, tanpa memihak.

"Atas sifat berkecuali, tanpa memihak, SPR diberikan amanah serta kuasa untuk memastikan pilihan raya berlangsung dan kelihatan tanpa ragu, berlangsung secara adil dan bebas, urusan pengundian dipermudahkan dan rakyat tanpa gentar, tekanan, takut dan gusar, serta bebas dan berasa selesa mengundi secara rahsia," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan melancarkan buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir', di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, dan pengarang bersama buku itu, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman serta Dr G Manimaran.

Sultan Nazrin bertitah, petugas pilihan raya perlu berperanan sebagai fasilitator dalam membantu dan memudahkan calon yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding serta rakyat yang mahu mengundi.

"Pilihan raya dilaksanakan secara bebas dan adil akan meningkatkan keyakinan pengundi, yang diperlihatkan melalui peratusan tinggi rakyat turun mengundi, selain menjadi penanda aras ketulenan serta kayu ukur kesungguhan budaya demokrasi yang diamalkan sesebuah negara.

"Cara sesuatu pilihan raya dikendalikan turut mencerminkan tahap pemikiran, intelek, kematangan, meluhurkan perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang, serta tahap integriti, keikhlasan dan amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara," titah baginda.

Dalam menghadapi senario semasa dan menuju ke hadapan, baginda bertitah, adalah penting untuk persefahaman, dalam semangat saling memahami dan menghormati, dibina antara institusi takhta yang diwakili Raja Pemerintah dengan institusi rakyat yang diwakili cabang perundangan dan cabang eksekutif, selain peranan cabang kehakiman yang bebas daripada sebarang pengaruh kuasa eksekutif.

"Takhta mengamati secara teliti dinamik politik yang berlaku dan berpendirian, amat perlu menetapkan paksi yang mengupayakan takhta melakarkan ruang peranan yang relevan dalam era semasa.

"Ini supaya takhta dilihat berperanan adil dan saksama oleh rakyat serta kekal dinamik dan bertenaga untuk menangani tuntutan serta keperluan warga, terutama dalam memenuhi peranan sebagai mekanisme semak dan imbang serta instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

"Justeru, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja wajib memenuhi tanggungjawab yang diperuntukkan dalam Perlembagaan untuk memastikan SPR mendapat kepercayaan awam," titah baginda.

Mengenai buku berkenaan yang diterbitkan Penerbit UM pula, Sultan Nazrin bertitah, ia bertujuan memberi ilmu kepada rakyat supaya lebih memahami peranan mereka sebagai pengundi.

"Sedarilah, kejayaan mahupun kegagalan sesebuah kerajaan bermula dengan sikap, budaya, nilai dan harga diri yang mempengaruhi pertimbangan pengundi ketika memilih pemimpin.

"Semoga penerbitan ini menjadi sebahagian daripada bahan rujukan yang dapat membantu mencelikkan mata hati pengundi," titah baginda.

Berita Harian X