Isnin, 21 March 2022 | 11:59am
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju menjawab soalan mengenai projek-projek solar di Dewan Rakyat. NSTP/Ihsan YouTube Parlimen
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju menjawab soalan mengenai projek-projek solar di Dewan Rakyat. NSTP/Ihsan YouTube Parlimen

Kemajuan LSS3 cecah 78 peratus, dijangka beroperasi akhir tahun

KUALA LUMPUR: Kemajuan keseluruhan projek tenaga boleh baharu (TBB) melalui pembangunan Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar pusingan ketiga (LSS3) mencatatkan sekitar 78 peratus setakat Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, berkata semua projek di bawah LAS3, yang bermatlamat meningkatkan kapasiti penjanaan TBB, dijangka boleh mula beroperasi akhir tahun ini.

"Sehingga Disember 2021, kemajuan pelaksanaan keseluruhan projek TBB di bawah Program LSS3 adalah sekitar 78 peratus.

"Semua projek di bawah LSS3 akan mula menjana tenaga elektrik ke sistem grid pada akhir tahun 2022," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab Yeo Bee Yin (PH-Bakri) yang bertanyakan status terkini beberapa projek solar di bawah LSS3 dan LSS@MEnTARI.

Mengulas kemajuan projek solar di bawah LSS@MEnTARI, Ali memaklumkan semua pemaju yang sudah ditawarkan kuota TBB kini dalam proses memuktamadkan pembiayaan.

"Projek-projek yang dibangunkan di bawah LSS@MEnTARI dijangka mula beroperasi seawal-awalnya pada akhir tahun 2023," katanya.

Menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang bertanyakan usaha kerajaan meningkatkan kapasiti TBB bagi menangani kenaikan kos arang batu, Ali berkata, tahap pencapaian TBB setakat hujung tahun lalu dengan campuran kapasiti terpasang adalah sekitar 24 peratus atau 8,700 megawatt.

"Tidak dinafikan harga arang batu sekarang tidak menentu, manakala harga projek solar tidak terdedah kepada ketidaktentuan harga pasaran.

"Bagaimanapun, penggunaan arang batu adalah sumber penjanaan yang lebih stabil dan mampu membekalkan elektrik secara berterusan berbanding sumber penjanaan seperti solar, yang bergantung kepada keadaan cuaca.

"Setiap sumber tenaga elektrik memiliki kelebihan masing-masing, dan kita perlu memastikan bekalan elektrik berdaya tahan dan mampu dibayar pengguna," katanya.

Berita Harian X