Sabtu, 19 March 2022 | 10:11pm

'Pembukaan sempadan negara lebih cekap, selamat 1 April ini' - Khairy

SEPANG: Malaysia yakin dapat membuka sepenuhnya sempadan negara dengan lebih cekap dan selamat dalam Fasa Peralihan Ke Endemik yang bermula 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ada beberapa protokol atau syarat yang perlu diselesaikan pengembara di negara asal atau pra-pelepasan itu akan dilaksanakan supaya tiada lagi kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Beliau berkata, pengembara perlu muat turun MySejahtera, keputusan ujian RT-PCR serta perlu isi borang pra-pelepasan sebelum memasuki pesawat dan berlepas ke negara ini.

"Apabila semua sudah lengkap, individu berkenaan akan dapat travellers card (kad pengembara) dalam MySejahtera dan akan dibenarkan untuk memasuki pesawat.

"Sebaik sampai sahaja (di pintu sempadan Malaysia), pengembara akan melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia dan kalau tiada apa-apa masalah dokumen, mereka dibenarkan masuk ke negara ini.

"Insya-Allah dengan adanya protokol baru ini, akan mengurangkan tempoh masa proses dilalui pengembara daripada keluar pesawat hingga keluar dari lapangan terbang kepada 35 minit hingga 45 minit sepertimana dahulu berbanding lebih satu jam sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai lawatan kerja bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong di KLIA meninjau persiapan dan persediaan pembukaan lapangan terbang sepenuhnya 1 April ini kepada pengguna domestik serta luar negara.

Hadir sama, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Khairy berkata, protokol baru itu akan menjadikan Malaysia destinasi pelancongan yang sangat kompetitif dan berdaya saing.

"Prinsip pembukaan kita (pintu sempadan negara) adalah yang pertama selamat dan yang kedua tiada birokasi yang banyak.

"Dengan pengumuman ini, maka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menutup kaunter ujian saringan RT-PCR secara percuma yang sudah pun dikendalikan selama lebih dua tahun di lapangan terbang.

"Tidak ada lagi kaunter saringan RT-PCR. Selepas ini pengembara Malaysia (warga negara) atau mana-mana pengembara negara yang nak masuk ke Malaysia, mereka mesti melaksanakan RTK-Antigen profesional dengan tanggungan sendiri," katanya.

Sementara itu, katanya, pada Selasa ini beliau akan mengadakan satu sidang media perincian syarat-syarat kemasukan pengembara menerusi sempadan udara dan darat.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April ini.

Antara kandungan dalam fasa itu ialah sempadan negara akan dibuka sepenuhnya mulai tarikh sama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (dua, kanan) beramah mesra dengan petugas keselamatan di Balai Pelepasan KLIA hari ini
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (dua, kanan) beramah mesra dengan petugas keselamatan di Balai Pelepasan KLIA hari ini
Berita Harian X