Sabtu, 19 March 2022 | 3:20pm

Lebih 1,400 jerat dirampas dalam Ops Bersepadu Khazanah

KOTA TINGGI: Sebanyak 1,435 jerat hidupan liar dikesan dan dimusnahkan hasil 39 siri rondaan sepanjang tiga tahun Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dilancarkan di seluruh Semenanjung sejak 2019.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata jerat dimusnahkan itu diperbuat daripada dawai dan kabel.

Katanya, dalam tempoh sama, sebanyak 187 kertas siasatan dibuka yang membabitkan 356 pesalah jenayah yang terdiri daripada 257 warga tempatan dan 99 warga asing.

"Sebanyak 1,435 jerat kabel dan dawai dimusnahkan membabitkan nilai sitaan RM36.45 juta. Tahun ini, dua siri operasi sudah dijalankan, di mana kita buka 11 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan dan jumlah rampasan RM54,000. Dalam tempoh itu terdapat 19 jerat hidupan liar dimusnahkan di lapangan.

"Kita juga ada mengesan 14 khemah warga asing, empat penebangan pokok dan ada 158 kesan pemburuan haram berjaya direkodkan membabitkan 19 pesalah ditahan termasuk termasuk seorang warga Indonesia," katanya selepas menghadiri mesyuarat OBK ke-10 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husin dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Abdullah Jaafar.

Abdul Kadir berkata, pihaknya serius dalam usaha memerangi ancaman pemburuan haiwan liar terutama yang memasang dan menggunakan jerat.

Katanya jerat yg diperbuat dari dawai atau kabel ini mampu beri ancaman utama kepada haiwan liar.

"Contohnya, kalau hendak memasang jerat bagi menangkap babi, bukan setakat haiwan itu sahaja yang terkena jerat terbabit, sebaliknya segala jenis haiwan lain pun boleh terperangkap pada jerat yang dipasang.

"Berikutan itu, kita anggap jerat ini berbahaya dan kita akan ke arah sifar jerat pada masa akan datang. Jerat dawai kadang kala diperbuat dari brek basikal, jerat dawai yang besar biasanya untuk gajah. Yang kecil untuk haiwan kecil. Saya mengajak semua pihak terus membanteras jenayah hidupan liar," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kadir turut memaklumkan Perhilitan akan mula dikuatkuasakan Akta Pemulihan Hidupan Liar Pindaan 2021 yang dijangka bermula hujung Jun ini.

Katanya, akta tersebut telah diluluskan parlimen pada 21 Disember lalu dan diwartakan 10 Februari tahun ini.

"Perkara utama ditambah baik dalam akta ini ialah tingkatkan kadar denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta. Manakala penjara maksimum 10 tahun kepada 15 tahun.

"Ia sebagai tindakan pencegahan jenayah hidupan liar," tambahnya.

Antara harimau yang cedera dan diselamatkan pihak berkuasa selepas terkena perangkap khinzir.
Antara harimau yang cedera dan diselamatkan pihak berkuasa selepas terkena perangkap khinzir.
Anggota penguatkuasa Perhilitan jerat haiwan liar yang dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK). - Foto NSTP/OMAR AHMAD
Anggota penguatkuasa Perhilitan jerat haiwan liar yang dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK). - Foto NSTP/OMAR AHMAD
Berita Harian X