Sabtu, 19 March 2022 | 12:36pm
Mustapa pada majlis perasmian kawasan rekreasi Bukit Salor, di Jeli. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mustapa pada majlis perasmian kawasan rekreasi Bukit Salor, di Jeli. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sistem pendidikan perlu dinamik, ikut keperluan industri

JELI: Perubahan sistem pendidikan negara ke arah pendigitalan perlu disesuaikan dengan situasi semasa bagi memenuhi kehendak industri terhadap tenaga kerja berkemahiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia kerana peredaran zaman berlaku secara dinamik dan adakalanya kemahiran yang dimiliki tenaga kerja sudah tidak relevan dengan kehendak industri, sekali gus menyebabkan majikan menawarkan gaji yang rendah.

"Pendigitalan dalam sistem pendidikan memang kita buat secara berterusan tambahan lagi kita sedang mengalami transformasi yang besar dalam tempoh 20 tahun ini menerusi peringkat rendah, menengah, vokasional dan universiti.

"Walaupun sudah banyak dilakukan perubahan, yang penting sistem ini perlu disesuaikan dengan keadaan semasa kerana ia dinamik, berubah cepat dan perlu sesuaikan dengan keperluan industri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kawasan rekreasi Bukit Salor, di sini, hari ini.

Mustapa pada majlis perasmian kawasan rekreasi Bukit Salor, di Jeli. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mustapa pada majlis perasmian kawasan rekreasi Bukit Salor, di Jeli. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata, sekarang ini sudah ada pihak industri tampil ke institusi kemahiran dengan menyertakan kurikulum mereka tersendiri, maka hubungan antara kedua pihak perlu ditingkatkan.

Mengulas lanjut, katanya, isu kemahiran tenaga kerja yang masih rendah ini mungkin akan menjejaskan kemasukan pelaburan, seterusnya membantutkan tawaran gaji yang tinggi oleh majikan.

"Hubungan institusi yang menyediakan kemahiran ini dengan pihak industri perlu dimantapkan kerana sudah ada beberapa kaedah, yang mana wakil syarikat pergi ke institusi latihan dengan menyediakan kurikulumnya sendiri. Jadi, kita perlu tingkatkan lagi hubungan.

"Kalau kita dapat pelaburan yang tinggi dan anak muda kita ada kemahiran dalam bidang yang diperlukan, sudah pasti akan dapat menikmati gaji yang tinggi," katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Dr Abdul Latif Abu Seman, dilaporkan berkata, kedudukan Malaysia dalam Purata Tahun Persekolahan menggambarkan kekurangan kemahiran dalam kalangan pekerja tempatan sehingga menyebabkan sumbangan gaji yang rendah oleh majikan.

Berdasarkan laporan 'World Competitiveness Yearbook' (WCY) oleh Institute of Management Development (IMD), beliau berkata, kedudukan Malaysia di tangga ke-25 untuk petunjuk Tenaga Buruh Mahir, menyumbang kepada kedudukan global yang agak rendah bagi petunjuk berkaitan produktiviti di tempat ke-33 dalam kalangan 64 ekonomi dunia.

Berita Harian X