Khamis, 17 March 2022 | 7:17pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

ISMA gesa pengimarahan masjid, surau dibuat di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa pihak berkuasa agama Islam negeri di seluruh negara dapat mengikut ketetapan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau seperti dilakukan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.

Naib Presiden (Dakwah) ISMA, Mohd Noor Azib Asmangi, berkata pengumuman itu pastinya memberi khabar gembira buat umat Islam yang bakal menyambut kehadiran Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

"ISMA berharap umat Islam dapat menggunakan kesempatan ini untuk kembali mengimarahkan masjid dan surau dengan pelbagai aktiviti seperti tadarus al-Quran, solat Tarawih, ceramah agama dan majlis berbuka puasa selepas hampir dua tahun menjalani fasa pandemik.

"Semoga umat Islam dan rakyat Malaysia terus terpelihara daripada jangkitan COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, memaklumkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.

Kebenaran merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Pada masa sama, jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri ketika mengerjakan solat di masjid dan surau.

Kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had usia kepada mereka yang sudah menerima vaksinasi COVID-19.

Berita Harian X