Khamis, 17 March 2022 | 4:12pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kesal khidmat urus makanan pelajar kuarantin UM dihentikan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mempertikaikan ketelusan dan kredibiliti Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) universiti itu memberhentikan pengurusan makanan dan minuman bagi pelajar kuarantin akibat COVID-19 di Pusat Pengasingan (PPT) kolej kediaman.

Presidennya, Wan Afiq Ikhwan, berkata pihaknya tidak bersetuju dengan notis dikeluarkan pada 7 Mac lalu yang tidak menyatakan semua maklumat di sebalik isu itu dengan jelas, sebaliknya menjadikan KMUM sebagai alasan bagi ketidakcekapan mereka.

Beliau berkata, BHEP UM gagal menjelaskan sebab pemberhentian perkhidmatan makanan dan gagal memenuhi tuntutan KMUM.

"Dalam mesyuarat sebelum ini, pihak BHEP menyatakan perkhidmatan makanan akan diberhentikan atas dua perkara. Pertama, dana diperuntukkan di bawah Jawatankuasa COVID-19 habis digunakan dan mereka kini terpaksa menggunakan tabung aktiviti pelajar.

"Jumlah keseluruhan dikeluarkan bagi perkhidmatan makanan melebihi RM70,000. Selain itu, mereka mendakwa terdapat juga pelajar yang membazir makanan percuma disediakan kerana memilih memesan makanan melalui perkhidmatan penghantaran makanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

KMUM sebelum ini mengemukakan lima tuntutan kepada BHEP UM sebagai maklum balas terhadap isu pemberhentian perkhidmatan makanan pada 7 Mac lalu.

Antara tuntutan diminta KMUM adalah pelajar mesti diberi pilihan makanan lebih murah di kafetaria kampus, tanggungan kos penghantaran makanan (tempoh kuarantin) dan penyediaan 'drop-off point' yang sesuai serta selamat bagi penghantar.

Selain itu, KMUM menuntut BHEP menyediakan dan menyegerakan perkhidmatan makanan percuma serta zakat/inisiatif lain kepada pelajar B40 yang dikuarantin.

Wan Afiq berkata, hanya tuntutan pertama daripada lima dijawab dan dinyatakan dalam notis, namun tiada garis panduan selanjutnya disediakan.

"Pihak BHEP sepatutnya bertindak secara profesional dengan menyatakan tuntutan ini dalam notis tanpa mengambil kira sama ada bersetuju atau tidak.

"Sekiranya BHEP tidak bersetuju dengan tuntutan itu, penjelasan selanjutnya perlu diberikan dalam notis itu," katanya.

Pada masa sama, Wan Afiq berkata, pihaknya memahami sumber kewangan terhad dan perlu digunakan secara berhemat.

"Namun, kami berdiri teguh dengan pendirian yang mana kebajikan pelajar harus diutamakan.

"Wang itu perlu digunakan untuk yuran penghantaran makanan pelajar yang dikuarantin dan meneruskan perkhidmatan makanan untuk pelajar B40.

"Sekiranya Jawatankuasa COVID-19 BHEP tidak dapat memenuhi tuntutan ini dengan alasan yang sah dalam masa seminggu, kita merumuskan kakitangan BHEP tidak cekap sama menguruskan hal ini, sama seperti pengendalian bank makanan BHEP," katanya.

Berita Harian X