Khamis, 17 March 2022 | 1:10pm

Geran RM100,000 setiap koperasi masjid sebagai galakan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperuntukkan RM100,000 dalam bentuk geran bagi setiap koperasi masjid, sebagai galakan untuk memaju dan membangunkan ekonomi setempat.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata dengan bantuan sedemikian, penubuhan koperasi masjid secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi dalam kalangan masyarakat, selain premis itu menjadi lokasi untuk aktiviti keagamaan.

Beliau berkata inisiatif itu juga seiring dengan matlamat MEDAC yang menyasarkan kira-kira 10 peratus masjid di seluruh negara akan mempunyai koperasi bermula tahun ini.

"Kita mahu membantu koperasi masjid ini yang kita harap masjid bukan saja jadi tempat beribadat, tetapi juga tempat perpaduan ummah serta tempat untuk meningkatkan ekonomi. Untuk melaksanakan hasrat itu, maka kita telahpun memperuntukkan kepada koperasi minimum RM100,000 sebagai geran.

"Yang kedua, usaha kita pada minggu lalu, julung kalinya mengadakan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan menteri agama pun hadir pada penutupan seminar tersebut.

"Kita adakan dengan jawatankuasa masjid yang dihadiri lebih 300 peserta dari seluruh negara. Kita memberikan seminar untuk membimbing mereka dan bagaimana hendak memajukan koperasi masjid," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) yang mahu MEDAC menjelaskan apakah usaha yang dilakukan untuk mencapai sasaran 10 peratus penubuhan koperasi masjid

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai usaha koperasi bagi membantu golongan berpendapatan rendah, Noh berkata ia terkandung dalam perancangan MEDAC untuk menubuhkan koop mart di kawasan tertentu seperti di projek perumahan rakyat (PPR) untuk membantu golongan B40 menerusi pewujudan tiga jenis koop mart.

Katanya, ia membabitkan koop mart yang menjual barang kering, barang basah dan koop mart yang akan diubah menjadi pasar raya.

"Untuk melaksanakan hasrat ini, maka kerajaan memperuntukkan 300,000 geran untuk kita bantu mengubahsuai koop mart tersebut. Setakat ini, kita ada 12 koperasi yang telahpun diluluskan bantuan pembangunan di bawah program ini dengan jumlah sebanyak RM2 juta.

"Kita juga akan koordinasikan pusat-pusat pengedaran dan pemborongan seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mempunyai satu pusat pemborongan dan SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) ada 28 pusat pengedaran.

"Jadi, kita akan gunakan untuk laksana usaha menaiktaraf koop mart sedia ada seperti ANGKASA ada empat buat mart dan di bawah SKM, kita ada 60 koop mart. Insya-Allah, kita akan cuba memainkan peranan ini supaya apabila koperasi jadi pengedar dan bila dapat (barang) terus daripada pengeluar...kita jual terus kepada koop mart ini untuk nak mengurangkan harga barang," katanya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X