Khamis, 17 March 2022 | 12:45pm
 Rina (dua kiri) kiri) bersama Takiyuddin (dua kanan) pada majlis penyerahan replika cek tajaan TNB kepada YKN bagi penubuhan Anjung Kasih YKN-TNB hari ini. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rina (dua kiri) kiri) bersama Takiyuddin (dua kanan) pada majlis penyerahan replika cek tajaan TNB kepada YKN bagi penubuhan Anjung Kasih YKN-TNB hari ini. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

YKN wujudkan 3 lagi Anjung Kasih

KOTA BHARU: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerima tajaan RM6.5 juta bagi penubuhan tiga Anjung Kasih YKN iaitu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Hospital Serdang dan Hospital Melaka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata sumbangan itu dapat meringankan beban kepada keluarga pesakit yang memerlukan penginapan ketika mereka menunggu ahli keluarga di hospital.

Katanya, setakat ini terdapat 17 Anjung Kasih di 17 hospital di seluruh negara termasuk Hospital Selayang, Hospital Miri dan Hospital Pulau Pinang.

"Penubuhan Anjung Kasih dapat memberi manfaat kepada lebih 80,000 waris pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital.

"Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan komited terhadap keperluan rakyat yang memerlukan ketika mereka menunggu ahli keluarga yang mendapat rawatan di hospital," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM1.5 juta YKN bagi penubuhan Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB HRPZ II di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Ketua Pegawai Penyelesaian Perniagaan Global TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim.

Mengulas lanjut, Rina berkata, waris yang mengiringi pesakit mendapatkan rawatan kini tidak perlu berulang alik dari rumah atau menginap di hotel yang mengenakan bayaran sewa agak tinggi.

Katanya, penubuhan Anjung Kasih akan diperluaskan untuk membantu keluarga pesakit di seluruh negara.

"Anjung Kasih juga beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk mengurangkan kadar jangkitan COBVID-19 dan turut mengasingkan antara lelaki serta wanita," katanya.

Berita Harian X