Rabu, 16 March 2022 | 2:14pm

'PRN Johor pengalaman berharga'

KUCHING: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menghormati dan menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu dengan hati terbuka.

Presidennya, Larry Sng Wei Shien, berkata walaupun tidak memenangi sebarang kerusi, penampilan pertama parti itu dalam pilihan raya adalah pengalaman berharga.

Katanya, PRN Johor memberi pengajaran kepada PBM untuk menilai sejauh mana kekuatan dan meneliti kelemahan ketara.

"Justeru, PBM akan menjalankan bedah siasat terperinci dan hasilnya penting untuk kami membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wei Shien turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu PBM sepanjang PRN Johor termasuk sukarelawan, penderma dan aktivis parti yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, keputusan PRN Johor tidak akan menghalang PBM daripada memperjuangkan enam teras utama iaitu pembabitan berbilang kaum, pemerkasaan wanita, pemerkasaan belia, pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemajuan sains dan teknologi.

Katanya, penyertaan sulung itu menjadi pendorong untuk PBM bekerja lebih keras dan bijak menghadapi cabaran masa depan.

"Tahniah kepada mereka yang memenangi PRN Johor dan semua yang bertanding, sekali gus menjamin demokrasi yang lebih rancak," katanya.

Berita Harian X