Selasa, 15 March 2022 | 7:41pm

Shamsudin, Aminah, Rosli terima Anugerah SEA Write

KUALA LUMPUR: Tiga tokoh penulis tanah air diumum sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara atau SEA Write Award untuk 2019, 2020 dan 2021.

Mereka ialah pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Shamsudin Othman; bekas jururawat, Aminah Mokhtar dan pesara guru Bahasa Melayu, Mohd Rosli Nik Mat atau nama penanya Rosli K Matari.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, berkata penerima 41, 42 dan 43 itu diumum serentak kerana sebelum ini majlis penganugerahan terpaksa ditangguhkan berikutan COVID-19 melanda negara.

"Sejak anugerah ini diwujudkan, seramai 40 tokoh penulis di Malaysia menerima pengiktirafan ini. Pada hari ini, saya amat berbesar hati dapat mengumumkan secara rasmi penerima SEA Write Award Malaysia 2019, 2020 dan 2021, iaitu penerima anugerah yang ke-41, 42 dan 43.

"Bagi 2019, panel pemilih memilih Shamsudin, Aminah pula pemenang 2020, manakala Mohd Rosli sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara bagi 2021 dan nama beliau dikemukakan pada 17 Disember 2021 kepada Sekretariat Tetap SEA Write Award di Bangkok," katanya pada sidang media di Anjung DBP, di sini hari ini.

Beliau berkata, Sekretariat Tetap Thailand mengesahkan secara rasmi penerima SEA Write Award bagi 2019, 2020 dan 2021 melalui surat bertarikh 28 Januari lalu serta memaklumkan majlis Penganugerahan Anugerah Penulisan Asia Tenggara untuk penerima 2019, 2020 dan 2021 dijadual pada April 2022.

"Bagaimanapun, tarikh dan masa belum dimuktamadkan dan majlis itu tertakluk kepada keputusan penganjur, prosedur dan peraturan kemasukan ke negara Thailand dalam situasi pandemik COVID-19. Semua pemenang akan memperoleh wang tunai 50,000 baht (kira-kira RM6,273), tiket penerbangan dan penginapan percuma di Bangkok," katanya.

Abang Sallehuddin berkata, pemilihan pemenang dibuat DBP selaku Sekretariat Tetap Anugerah Penulisan Asia Tenggara berdasarkan kriteria ditetapkan jawatankuasa pemilihan dengan panel penilai mempertimbangkan beberapa perkara berdasarkan kekuatan karya dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

Sementara itu, Rosli, penyair kelahiran Kelantan berusia 61 tahun, berkata dia berterima kasih dan begitu menghargai keputusan juri memilihnya sebagai pemenang pada 2021.

Rosli muncul dengan kumpulan puisi pertamanya, Nun Bulan pada 2011 dan karya itu yang dihasilkan selepas 33 tahun berada dalam ranah sastera diakui pengkritik sebagai himpunan puisi yang mantap merentas dekad.

Penerima SEA Write Award (dari kiri) Dr Shamsudin Othman (2019), Aminah Mokhtar (2020) dan Mohd Rosli Nik Mat (2021) pada sidang media di Menara DBP. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Penerima SEA Write Award (dari kiri) Dr Shamsudin Othman (2019), Aminah Mokhtar (2020) dan Mohd Rosli Nik Mat (2021) pada sidang media di Menara DBP. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Berita Harian X