Selasa, 15 March 2022 | 5:16pm

Skim pinjaman kenderaan komersial untuk pengusaha pengangkutan

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat akan memperkenalkan Skim Pinjaman Kenderaan Komersial dalam usaha membantu pengusaha industri pengangkutan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata skim itu terbuka kepada pengusaha bas sekolah, bas ekspress, lori dan teksi yang berdepan kesukaran ketika ini.

Katanya, pinjaman menerusi skim sewa beli itu baru diperkenalkan dan boleh dimohon usahawan perkhidmatan pengangkutan dalam tempoh terdekat.

"Kita sedia maklum sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kenderaan komersial seperti bas ekspres dan teksi tidak dapat beroperasi. Pembukaan sempadan tidak lama lagi sudah pasti memerlukan lebih banyak kenderaan seperti ini beroperasi semula sekali gus membantu mengerakkan ekonomi negara apabila lebih ramai pelancong akan datang.

"Oleh itu, pengusaha yang kenderaan mereka sudah dua tahun tidak bergerak akibat pandemik boleh memohon skim ini jika mereka ingin mendapatkan kenderaan baharu," katanya selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur di Puchong, hari ini.

Noh berkata, jumlah pinjaman menerusi sewa beli itu akan diberikan sehingga 80 peratus dan pihaknya juga akan membantu pengusaha dengan memberi peluang mendapatkan pembiayaan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

"TEKUN akan membantu memberikan pembiayaan sekurang-kurangnya 10 peratus lagi, manakala pengusaha hanya perlu menyediakan baki 10 peratus sahaja sebagai deposit. Ini sudah pasti akan membantu mengurangkan beban pengusaha menyediakan bayaran deposit," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, kementeriannya yang sebelum ini dikenali dengan akronim MEDAC, kini ditukar kepada KUSKOP dan sudah diluluskan Kabinet Jumaat lalu, bertujuan mendaulatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bas Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur kali ke-17 di Dewan Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, Puchong. - NSTP/OWEE AH CHUN.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bas Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur kali ke-17 di Dewan Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, Puchong. - NSTP/OWEE AH CHUN.
Berita Harian X