Selasa, 15 March 2022 | 12:52pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - NSTP/ARKIB
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - NSTP/ARKIB

Sultan Nazrin harap rakyat tidak alpa amalan kesihatan

KUALA KANGSAR: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitipkan harapan agar fasa peralihan pandemik kepada endemik bermula 1 April ini tidak menyebabkan rakyat mengalpakan amalan kesihatan serta mengenepikan langkah pencegahan penyebaran COVID-19.

Sultan Perak bertitah, menjadi hasrat dan harapan baginda agar Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana meriah dan ceria, sekali gus mengingatkan agar aktiviti dilakukan dalam Ramadan yang bakal tiba April nanti mematuhi amalan kesihatan serta pencegahan yang ditetapkan.

"Sudah dua tahun umat Islam tidak berpeluang merayakan Aidilfitri bersama anggota keluarga dan sanak-saudara. Untuk itu, rakyat terutamanya umat Islam perlu berhati-hati. Beta akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkaitan sebelum menetapkan garis panduan dan nasihat kepada institusi agama Islam, masjid dan surau," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-170 di Istana Iskandariah, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Titah baginda, fasa peralihan kepada endemik bermula 1 April ini membolehkan manusia bergerak dan lebih bebas melakukan aktiviti, namun ia tidak bermakna ancaman wabak berkenaan sudah berakhir.

"Langkah preventif yang dinasihatkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan hendaklah sentiasa dipatuhi dengan rakyat wajib dinasihatkan agar bersama membantu usaha negara bagi meminimumkan jangkitan serta melindungi negara daripada menghadapi gelombang baharu," titah baginda.

Sultan Nazrin juga mengingatkan Orang-Orang Besar Negeri terutama Orang Besar Jajahan (OBJ) agar berperanan aktif memantau aktiviti di masjid sewaktu Ramadan kelak kerana agama Islam serta institusi yang mengendalikannya terletak di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah.

"Bulan Ramadan bakal menjelang yang mana di dalamnya umat Islam bakal meningkatkan amal ibdah secara berkumpulan melalui pelbagai kegiatan. Justeru, perlu bantu memantau aktiviti di masjid selain memberikan nasihat serta bimbingan sewajarnya bagi meminimumkan risiko jangkitan," titah baginda.

Mengenai mesyuarat Dewan Negara Perak, baginda bertitah, ia diadakan hari ini selepas dua tahun sejak mesyuarat terakhir pada 13 Mac 2020, iaitu sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

Sultan Nazrin bertitah, baginda mengambil pendirian tidak mengadakan sebarang mesyuarat melainkan berlaku sesuatu perkara yang sangat memerlukan sepanjang tempoh itu bagi meminimumkan risiko jangkitan dalam kalangan ahli Dewan Negara Perak.

Berita Harian X