Selasa, 15 March 2022 | 11:30am

Proses tender MRT3 bermula tahun ini

KUALA LUMPUR: Proses tender bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dirancang bermula tahun ini melalui lima pakej utama untuk tempoh enam hingga lapan tahun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata cadangan jajaran terkini bagi projek itu membabitkan lingkaran sepanjang 51 kilometer (km) meliputi 39km di Kuala Lumpur dan 12km lagi di Selangor.

"Laluan ini dirancang untuk beroperasi secara berfasa. Fasa pertama akan dibuka seawal Disember 2028, tertakluk kepada proses pengambilan tanah.

"Keseluruhan jajaran dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) mengenai status terkini pembangunan projek MRT3, cadangan jajaran dan anggaran jangka masa diperlukan.

Ka Siong memaklumkan, laluan lingkaran projek itu akan merentasi rangkaian rel sedia ada, termasuk laluan MRT1, MRT2, Transit Aliran Ringan (LRT) , Monorel dan KTM Komuter untuk membentuk 10 stesen pertukaran baharu.

Beliau menjelaskan, laluan lingkaran itu adalah bagi memastikan sistem rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang lebih menyeluruh, berkesinambungan dan efisien.

Katanya, sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan jajaran itu merupakan laluan bertingkat, manakala 20 peratus lagi laluan bawah tanah.

"Projek ini akan dibiayai secara hibrid membabitkan sumber pembiayaan seperti sukuk bersama jaminan kerajaan dan pembiayaan secara bayaran tertangguh.

"Projek MRT di Lembah Klang adalah antara projek infra rakyat berskala besar yang dilaksanakan kerajaan bagi mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam rel yang cekap, berkesan dan selamat, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dilaporkan berkata Kabinet bersetuju melaksanakan projek MRT3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA
Berita Harian X