Isnin, 14 March 2022 | 11:59am

'Kerajaan Selangor perlu lebih serius tangani masalah banjir' - Sultan Sharafuddin

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini menitahkan kerajaan negeri agar memberi penekanan lebih serius terhadap usaha menangani masalah banjir serta banjir kilat yang semakin kerap berlaku di negeri ini.

Baginda bertitah, ia termasuk menyediakan pelan jangka pendek dan panjang, merangkumi kerja mendalam serta melebarkan sungai; memastikan sistem perparitan yang baik dan terurus dan membina kunci air (floodgate) di lokasi penting yang mengambil kira kadar taburan hujan dan jadual pasang surut air laut.

Titah baginda, kaedah terbaik menangani banjir perlu dikenal pasti segera, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baharu dari dalam dan luar negara.

"Sepatutnya, sejak berlaku tragedi banjir besar di Selangor pada tahun 1971, kita belajar dan memperoleh teladan bagaimana untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir.

"Apatah lagi, jumlah penduduk Selangor kini mencecah lebih 6.5 juta, terutama kawasan yang sangat padat penduduknya, kerajaan negeri perlu mempunyai perancangan masa hadapan lebih efektif supaya rakyat tidak lagi merana dan terbeban dengan banjir," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, dalam melaksanakan usaha-usaha itu, semua pegawai, agensi dan jabatan di bawah kerajaan negeri perlu lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah berkaitan bencana banjir.

"Setiap tindakan dan respon perlu diambil dengan cepat serta pantas tanpa berlengah kerana ia membabitkan nyawa serta kerugian harta benda rakyat.

"Beta juga berharap agar setiap projek mengatasi banjir seperti pembinaan ban atau mendalamkan sungai dilakukan dengan sempurna serta bersungguh-sungguh agar ia berkesan dalam tempoh jangka masa panjang bagi mengelakkan bencana banjir yang lebih buruk daripada berlaku," titah baginda lagi.

Sultan Selangor turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk memberi pengajaran kepada rakyat supaya tidak melakukan pencemaran dan pencerobohan tanah di tepi sungai di negeri ini.

Titah baginda, kerajaan negeri juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi tindakan penguatkuasaan khususnya terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan pencemaran sungai yang menjadi punca utama kepada berlakunya bencana banjir.

"Beta juga berharap rakyat memainkan peranan masing-masing untuk memastikan sistem perparitan dan sungai di penempatan masing-masing tidak tersumbat dan sentiasa bersih serta berada dalam keadaan baik serta elakkan daripada kegiatan membuang sampah ke dalam sungai yang boleh mencemarkan kualiti air dan banjir kilat.

"Beta sedih dan dukacita apabila melihat kesan kerosakan selepas banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat. Sekiranya semua pihak masih lagi tidak serius dan sambil lewa mendepani bencana banjir ini, bukan sahaja kerajaan akan terus menanggung kerugian, malah rakyat juga akan terbeban.

"Dalam hal ini, beta berharap Kerajaan Persekutuan dan negeri mengenepikan perbezaan fahaman politik dan dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang supaya rakyat yang terlibat tidak menanggung penderitaan yang teruk dan trauma setiap kali berlaku musim hujan," titah baginda.

Dalam pada itu, mengenai projek pengangkutan awam yang bakal dibangunkan melalui jajaran di Selangor iaitu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta MRT3 Circle Line, baginda bertitah kedua-dua projek itu dibuat penelitian sebaik mungkin, mengambil kira pelbagai faktor terutamanya kesan ke atas impak sosial dan alam sekitar.

"Beta sangat berharap pelaksanaan projek-projek ini tidak menimbulkan kesan atau bencana yang lebih teruk dan mengganggu-gugat kehidupan rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya untuk tempoh yang lama apabila pembangunan projek dilaksanakan secara tidak teratur, cuai tanpa pemantauan dan pengawalan pihak-pihak yang terlibat.

"Oleh itu, suka Beta ingatkan supaya semua pihak yang terlibat sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun negeri, perlu memastikan agar kerja-kerja dijalankan dengan teratur serta disempurnakan dengan baik," titah baginda.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini
Berita Harian X