Isnin, 14 March 2022 | 11:27am

3 peruntukan baharu selia barang kawalan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 bakal menyaksikan pertambahan tiga seksyen baharu dan pindaan satu seksyen sedia dalam Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Ia bagi membolehkan rantaian pengedaran diselia, selain tindakan penguatkuasaan ke atas jenayah membabitkan penyelewengan barang kawalan diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pindaan itu bagi membolehkan siasatan dan pendakwaan kes membabitkan penyelewengan barang kawalan dapat dilakukan dengan lebih efektif.

Pindaan Seksyen 10 dibuat bagi memperluas kuasa tangkapan pegawai bekalan untuk menahan orang dipercayai dengan munasabah sudah atau cuba untuk melakukan kesalahan di bawah akta ini, tanpa waran.

"Pengenalan Seksyen 12A, bertujuan memberi pegawai bekalan kuasa untuk menjual barang kawalan disita yang sifatnya mudah rosak, terbakar atau melibatkan penjagaan dengan kos tinggi.

Alexander Nanta Linggi. - Foto fail BERNAMA
Alexander Nanta Linggi. - Foto fail BERNAMA

"Pengenalan seksyen 12B, iaitu bagi mengecualikan tuntutan terhadap kerajaan oleh mana-mana pihak berkenaan dengan barang disita, melainkan jika penyitaan itu dibuat tanpa sebab munasabah.

"Pengenalan seksyen 25A, bertujuan mengadakan peruntukan mengenai pensampelan dalam menjalankan pemeriksaan dan penganalisaan ke atas barang kawalan disita," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) mengenai peruntukan ditambah baik dalam RUU Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

Alexander berkata, KPDNHEP sentiasa merancang dan menjalankan kajian serta menyemak semula undang-undang dikuatkuasakan bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan dan isu semasa.

Usaha itu dapat dibuktikan dengan pelbagai pindaan dan penggubalan akta atau subsidiari di bawah peruntukan dikuatkuasakan KPDNHEP.

"RUU Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 akan dibentangkan di dalam Dewan Rakyat pada sesi mesyuarat kali ini. Ia juga menyentuh mengenai pengambilan sampel bagi memudahkan pembuktian pendakwaan di mahkamah.

"Pindaan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (Akta 500)bertujuan memperluas skop jualan langsung dalam usaha menggalakkan amalan perniagaan berunsurkan jualan langsung yang baik di Malaysia.

"Peraturan sedang dalam semakan dan diperhalusi untuk dipinda bagi kepentingan industri dan pengguna, antaranya Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik), Peraturan Sewa Beli serta Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan," katanya.

Menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Kulim Bandar Baharu) mengenai penipuan di platform pembelian dalam talian, Alexander berkata, pihaknya sedang memperhalusi perkara itu.

"Kita memang ada terima syor mengenai perkara ini dan ia sedang diperhalusi dalam libat urus antara KPDNHEP, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta pelbagai agensi berkaitan," katanya.

RUU Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 bakal menyaksikan pertambahan tiga seksyen baharu dan pindaan satu seksyen sedia dalam Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122). - Foto hiasan NSTP
RUU Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 bakal menyaksikan pertambahan tiga seksyen baharu dan pindaan satu seksyen sedia dalam Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122). - Foto hiasan NSTP
Berita Harian X