Isnin, 14 March 2022 | 9:49am
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). - Foto NSTP
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). - Foto NSTP

Rakyat mahu kerajaan stabil, tumpu pulih ekonomi

KOTA KINABALU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin disifatkan sebagai gambaran kehendak rakyat yang mahukan kerajaan stabil dan mampu mengemudi usaha memulihkan ekonomi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat sudah bosan dengan permainan politik pembangkang yang tidak mempunyai hala tuju jelas berbanding BN yang tampil dengan manifesto realistik untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat di Johor.

Katanya, pendekatan pembangkang yang melemparkan pelbagai proganda, fitnah dan serangan peribadi ketika kempen PRN Johor tidak lagi mempengaruhi pemikiran rakyat, berbeza dengan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Taktik yang digunakan parti pembangkang pada PRU-14 sehingga menjatuhkan kerajaan BN pada 2018 tidak lagi memberi impak pada masa ini kerana rakyat sudah merasai apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

"Selama mereka memerintah negara bukan sahaja segala janji dalam manifesto mereka gagal ditunaikan, malah kestabilan politik dan keadaan ekonomi negara semakin terjejas.

"Justeru, keputusan PRN Johor kali ini jelas menunjukkan yang rakyat memilih BN kerana mereka mahukan kestabilan politik dan ekonomi demi pembangunan berterusan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

PRN Johor menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mendapat majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri baharu yang lebih stabil berbanding sebelum ini.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, strategi yang berkesan dan jalinan kerjasama semua parti kompenan BN, jentera BN dan sokongan BN negeri turut menjadi pemangkin kejayaan PRN Johor kali ini.

"Momentum ini perlu dikekal dan terus dipertingkatkan khususnya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada rakyat kerana ia turut memberi kesan kepada perjalanan seterusnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," katanya.

Beliau berkata, kemenangan besar UMNO dan BN pada PRN Johor juga menggambarkan yang parti itu sudah bersedia dan berkeupayaan untuk menghadapi cabaran PRU-15 pada bila-bila masa.

Berita Harian X