Isnin, 14 March 2022 | 8:12am
Bomba menggerakkan operasi menyelamat susulan beberapa kawasan sekitar Sungai Siput dilanda banjir kilat sejak malam tadi susulan hujan lebat berterusan. - Foto/Ihsan JBPM Perak
Bomba menggerakkan operasi menyelamat susulan beberapa kawasan sekitar Sungai Siput dilanda banjir kilat sejak malam tadi susulan hujan lebat berterusan. - Foto/Ihsan JBPM Perak

Banjir kilat landa Sungai Siput

SUNGAI SIPUT: Beberapa kawasan sekitar sini dilanda banjir kilat sejak malam tadi susulan hujan lebat berterusan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata antara kawasan terjejas adalah di Taman Kledang Fasa II, Kampung Che Zainal, dan Kampung Muhibbah yang dinaiki air mencecah paras satu setengah meter.

Difahamkan, banjir kilat turut melanda Kampung Ramasamy, di sini.

Katanya, panggilan berhubung kejadian diterima jam 10.06 malam tadi dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput diatur gerak ke lokasi, dibantu oleh BBP Ipoh, selain dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) iaitu Chemor dan Pekan Baru.

"Seorang wanita warga emas dipindahkan ke rumah jirannya yang berdekatan oleh JBPM," katanya melalui kenyataan, awal pagi tadi.

Beliau berkata, operasi ditamatkan jam 3.30 pagi tadi susulan paras air yang semakin surut namun pemantauan masih dilakukan pasukan menyelamat.

Sementara itu, insiden berkenaan turut dilapor mengakibatkan kenderaan yang melalui Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran sebuah kilang pembuatan simen di Kanthan, Chemor terkandas selama beberapa jam apabila jalan digenangi air.

Beberapa kenderaan terkandas di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Kanthan, susulan beberapa kawasan di Sungai Siput dinaiki air. Foto/Ihsan JBPM Perak
Beberapa kenderaan terkandas di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Kanthan, susulan beberapa kawasan di Sungai Siput dinaiki air. Foto/Ihsan JBPM Perak

Berdasarkan video tular dikongsikan di media sosial, beberapa kenderaan terkandas di lokasi jalan berkenaan selain kelihatan sebahagian daripada kenderaan yang terkandas berpatah balik.

Kejadian pokok tumbang merintangi jalan raya difahamkan turut berlaku berhampiran jalan yang digenangi air terbabit.

Berita Harian X