Ahad, 13 March 2022 | 9:12pm
Gambar fail NSTP
Gambar fail NSTP

KKM bimbang 68 peratus kanak-kanak belum divaksinasi

KUALA LUMPUR: Kira-kira 68 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun belum menerima suntikan COVID-19 bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids).

Situasi itu menimbulkan kebimbangan dengan kadar harian vaksinasi bagi program berkenaan di seluruh negara hanya 12,000 hingga 20,000 orang sehari.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Ketua Sektor Kesihatan Sekolah, KKM, Dr Saidatul Norbaya Buang, berkata ibu bapa dinasihatkan membawa anak-anak mendapatkan vaksinasi segera bagi melindungi mereka daripada mendapat jangkitan serius.

Katanya, kanak-kanak termasuk yang baru mendapat dos pertama suntikan COVID-19 masih berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

"Dari segi pelaksanaan, PICKids sudah dimulakan pada 3 Februari, enam minggu lalu. Dalam tempoh enam minggu sehingga 13 Mac, hampir 1.15 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mendapat dos pertama iaitu bersamaan dengan 32.2 peratus kanak-kanak di Malaysia.

"Masih ada 68 peratus yang belum tampil untuk vaksinasi, dengan negeri mencatatkan liputan rendah seperti Kelantan, Terenganu, Sabah dan Kedah. Bagi Kelantan, capaian vaksinasi (setakat ini) ialah 8.8 peratus, berbanding 62 peratus di Sarawak," katanya dalam Forum Awam: 'Vaksin COVID-19: Adakah Anak Anda Perlukannya?" yang diadakan secara maya menerusi YouTube dan Zoom anjuran Persatuan Persatuan Pediatrik Malaysia dan Immunise4life.

Dr Saidatul Norbaya berkata, jumlah liputan yang masih rendah itu menyebabkan Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memutuskan untuk membuka semua pusat vaksinasi secara datang terus (walk in) dan meluluskan penggunaan Sinovac sebagai vaksinasi kedua untuk kanak-kanak.

"Bagi meningkatkan liputan vaksinasi, (sempena) cuti sekolah ini juga kita buka semua pusat vaksinasi secara walk in. Malah ibu bapa jika tidak mahu suntikan Pfizer boleh maklumkan untuk mohon Sinovac.

"KKM juga mempergiat pembabitan sosial bersama dengan rakan kerjasama kami, antaranya dengan ibu bapa, agensi pemegang taruh berkaitan kesihatan, Pendidikan, sosial malah agama bagi meningkatkan liputan khususnya di negeri dengan liputan rendah," katanya.

Diminta mengulas kebimbangan masyarakat kemungkinan kanak-kanak belum divaksinasi tidak dibenarkan ke sekolah, beliau berkata ia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM).

"Objektif KKM menyasarkan seramai mungkin kanak-kanak divaksinasi supaya sekolah boleh dibuka dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Kanak-Kanak, Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff, mengulas kebimbangan ibu bapa kemungkinan kanak-kanak yang divaksinasi berdepan kesan sampingan jangka panjang.

"Sebenarnya tidak ada data mengatakan (terdapat) kesan sampingan jangka panjang.

"Untuk vaksin, jika berlaku kesan sampingan, biasanya berlaku selepas vaksinasi itu sendiri, paling lama setakat empat hingga enam minggu.

"Disebabkan itu, dari segi kelulusan untuk pemberian vaksin, badan kawalan vaksin antarabangsa akan lihat data selama dua bulan. Semua pengeluar vaksin perlu tunjukkan keberkesanan dalam tempoh itu.

"Ini kerana apa-apa kesan sampingan pun, dalam masa dua bulan patutnya sudah dilihat. Kita tak nampak ada kesan sampingan (daripada suntikan vaksin) dalam tempoh lebih daripada itu, sama ada enam bulan kemudian atau 10 tahun dari sekarang," katanya.

Beliau turut memberitahu, kanak-kanak yang menghidapi komplikasi penyakit lain selamat untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19, namun menasihati ibu bapa supaya mendapatkan dahulu penilaian daripada doktor berkaitan.

Jelasnya, adalah lebih baik suntikan vaksinasi bagi kanak-kanak ini dilakukan di hospital dengan pemantauan doktor yang merawat mereka.

Berita Harian X