Ahad, 13 March 2022 | 4:45pm
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan titah menerusi rakaman video sempena Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM, hari ini. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan titah menerusi rakaman video sempena Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM, hari ini. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN

Jadikan konsep Keluarga Malaysia panduan kebersamaan

SINTOK: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadikan konsep 'Keluarga Malaysia' sebagai panduan dalam usaha memupuk semangat kebersamaan antara satu sama lain.

Baginda yang juga Canselor UUM bertitah, keharmonian dan kestabilan negara sangat penting dalam suasana pada masa ini.

"Berusahalah untuk memiliki hubungan yang serasi dan seimbang saling memberi dan menerima selain meraikan perbezaan dengan hati yang terbuka. Jadilah generasi yang ambil tahu, generasi yang bijak memanfaatkan teknologi terkini dan seterusnya dapat menyuntik pembaharuan positif terhadap bangsa dan negara.

"Sejujurnya, kelestarian pembangunan negara bergantung pada anda semua. Andalah harapan bangsa. Anda jugalah pengemudi negara," titah baginda menerusi rakaman video sempena Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM di sini hari ini.

Seramai 4,052 graduan yang menamatkan pengajian pada 2020 menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen itu yang berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini.

Sultan Kedah juga bertitah, dalam keadaan ekonomi kini yang amat mencabar, baginda meletakkan harapan tinggi supaya graduan UUM dapat menjadi insan lebih berdaya tahan yang dapat memperteguh kemahiran diri serta menggali dan merebut peluang yang terbuka kesan daripada pandemik COVID-19.

"Beta juga berkenan untuk mengingatkan saudara saudari agar sentiasa mengenang jasa ibu bapa serta ahli keluarga yang telah banyak berkorban, demi memastikan kejayaan saudara saudari.

"Hargailah jasa bakti pendidik, tenaga sokongan dan tenaga pengurusan yang telah berusaha gigih untuk memastikan persekitaran pembelajaran saudara saudari selesa, kondusif, selamat dan menggembirakan," titah baginda.

Sultan Sallehuddin mengharapkan UUM dapat berganding bahu dengan kerajaan negeri untuk memacu agenda pembangunan negeri menerusi kerja penyelidikan, program komuniti dan latihan yang dibekalkan kepada pelbagai pemegang taruh selain graduan perlu mencipta peluang untuk menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan dan perniagaan.

"Beta berkenan untuk mengingatkan bahawa kita perlu terus meningkatkan kekuatan sedia ada dalam bidang pertanian, terutamanya industri padi dan beras.

"Selain pengaplikasian teknologi baharu sepenuhnya, peningkatan pengetahuan dan kemahiran pertanian serta kerjasama bersepadu pelbagai agensi pertanian, semangat memajukan pertanian dalam kalangan rakyat negeri ini juga perlu dipertegapkan dan diperkasakan," titah baginda.

Titah baginda lagi, sebagai Negeri Jelapang Padi, Kedah mempunyai tanggungjawab sosial yang amat besar terutamanya dalam menjamin keselamatan bekalan makanan negara pada masa hadapan.

Pada Majlis Konvokesyen kali ini, UUM mengurniakan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak yang juga Naib Canselor UUM ketujuh dan bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi. - BERNAMA

Berita Harian X