Ahad, 13 March 2022 | 4:06pm

GRS sah sebagai entiti politik rasmi

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sah didaftar sebagai entiti politik rasmi.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor, berkata pihaknya menerima sijil kelulusan permohonan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Jumaat lalu, selepas menghantar permohonan beberapa minggu lalu.

Katanya, pendaftaran GRS adalah tindakan pihaknya terhadap permintaan rakyat yang mahu GRS bergerak sebagai entiti politik rasmi di Sabah.

"Hasrat kita mahu melihat Sabah terus makmur dengan perpaduan dan kestabilan yang dapat mendorong agenda pembangunan.

"Tiada masa lebih sesuai selain sekarang, maka kita perlu hapuskan politik negatif dan remeh-temeh.

"Berbekalkan sumber dan kekuatan, kita perlu bersama menjunjung mandat diberi rakyat untuk kemakmuran Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden KDM, Datuk Peter Anthony dan Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim.

Hajiji berkata, pihaknya akan memanfaatkan GRS bagi membangunkan Sabah dalam keadaan politik semasa di negeri itu.

Mengenai kedudukan KDM sebagai parti mesra GRS, beliau mengalu-alukan hasrat itu dan akan membawa permohonan berkenaan untuk pertimbangan dan persetujuan rakan komponen.

Sementara itu, Peter menyerahkan sepenuhnya kepada kepemimpinan GRS untuk membuat pertimbangan.

"Terpulang kepada Pengerusi GRS yang akan menentukan kedudukan KDM,

"Sudah sampai masanya pergolakan politik antara parti di Sabah kita hentikan. Tidak guna kita bergaduh sedangkan Sabah boleh dimajukan," katanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Presiden KDM, Datuk Peter Anthony dan barisan Ahli Majlis Tertinggi parti mengangkat tangan selepas pelancarannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Presiden KDM, Datuk Peter Anthony dan barisan Ahli Majlis Tertinggi parti mengangkat tangan selepas pelancarannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Berita Harian X