Sabtu, 12 March 2022 | 1:38pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

COVID-19: Kemasukan kanak-kanak ke PICU meningkat 94 peratus

PUTRAJAYA: Kadar kemasukan kanak-kanak ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) akibat COVID-19 meningkat sejak Februari lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam hantaran melalui laman Facebook, memaklumkan sejak Februari hingga kini, kadar kemasukan pesakit kanak-kanak meningkat sebanyak 94 peratus untuk semua kategori 3 hingga 5, dengan peningkatan ketara bagi kategori 4, iaitu sebanyak 200 peratus, diikuti kategori 5 sebanyak 125 peratus.

"Kanak-kanak menjadi golongan yang lebih berisiko mendapat jangkitan COVID-19 memandangkan mereka yang berusia 11 tahun dan ke bawah belum mendapat perlindungan sewajarnya berbanding kumpulan umur yang lebih tinggi yang sudah mendapat vaksinasi.

"Pengambilan vaksin COVID-19 amat penting bagi kalangan kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun, terutamanya apabila negara akan memulakan fasa peralihan ke endemik," kata KKM.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan ibu bapa untuk mendapatkan vaksin bagi anak-anak demi melindungi mereka daripada jangkitan teruk varian Omicron yang boleh membawa maut dan komplikasi 'Multi System Inflammatory Syndrome in Children' (MIS-C).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, KKM mengesan sebanyak174 kes kanak-kanak bawah usia 18 tahun mengalami MIS-C akibat COVID-19 sejak Jun 2020 hingga Disember lalu.

MIS-C antara keadaan kritikal yang boleh berlaku akibat jangkitan COVID-19 yang menyebabkan keradangan organ dalaman, terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

Berita Harian X