Sabtu, 12 March 2022 | 7:32am
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

COVID-19: 32,800 kes baharu, peningkatan hari kedua berturut-turut

PUTRAJAYA: Kes positif baharu COVID-19 di negara ini terus merekodkan peningkatan untuk hari kedua berturut-turut dengan semalam 32,800 lagi jangkitan baharu direkodkan.

Portal COVIDNOW melaporkan, pertambahan itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 dalam negara sehingga semalam berjumlah 3,774,786 kes.

Sehingga tengah malam sama juga, sebanyak 322,700 kes aktif dilaporkan dengan 310,351 kes menjalani pengasingan di rumah; 3,111 individu dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 8,858 pesakit lagi menjalani rawatan di hospital.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaporkan 24,444 kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 dalam negara semalam, menjadikan 3,418,443 individu atau 90.6 peratus daripada kes dikesan positif sudah pulih sepenuhnya.

Sehingga tengah malam tadi juga, sebanyak 322,700 kes positif masih lagi aktif, manakala 76 kes kematian termasuk 21 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) turut dilaporkan.

Beliau berkata, daripada bilangan kes dilaporkan semalam, sebanyak 32,259 adalah penularan tempatan terdiri 31,232 warganegara (96.8 peratus) dan 1,027 bukan warganegara (3.2 peratus), manakala 541 lagi membabitkan kes import iaitu 503 rakyat Malaysia dan 38 warga asing.

Katanya, daripada 32,800 kes harian yang dilaporkan semalam, sebanyak 12,726 kes atau 38.80 peratus membabitkan Kategori 1, diikuti Kategori 2 (19,891 kes atau 60.64 peratus), Kategori 3 (70 kes atau 0.21 peratus), Kategori 4 (78 kes atau 0.24 peratus) dan Kategori 5 (35 kes atau 0.11 peratus).

"Daripada 183 kes baharu COVID-19 Kategori 3, 4, dan 5 dilaporkan semalam, sebanyak 35 kes (19.12 peratus) membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; selain 80 kes (43.72 peratus) sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 68 kes (37.16 peratus) pesakit sudah menerima dos penggalak.

"Seramai 103 pesakit atau 56.28 peratus terdiri daripada individu berusia 60 tahun dan ke atas; diikuti 73 kes (39.89 peratus) membabitkan individu mempunyai komorbid, serta dua kes (1.09 peratus) adalah ibu hamil," katanya dalam kenyataan media, pagi ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga melaporkan 380 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 165 kes disahkan COVID-19 dan 215 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan, serta 231 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan iaitu meliputi 102 kes disahkan COVID-19, manakala 129 kes yang disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Beliau berkata, KKM turut mengesan empat kluster baharu jangkitan semalam, menjadikan jumlah setakat ini 6,873 kluster.

Katanya, sebanyak 6,468 kluster sudah ditamatkan manakala 405 kluster masih aktif.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia mencatatkan nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) sebanyak 1.03 semalam, dengan Sarawak mencatatkan angka tertinggi iaitu 1.34.

Katanya, ia disusuli Kuala Lumpur pada kadar 1.16; Terengganu (1.13); masing-masing 1.07 di Perak dan Negeri Sembilan; masing-masing 1.05 di Selangor dan Putrajaya; Pahang (1.04); masing-masing 1.03 di Kedah, Melaka dan Pulau Pinang, serta Perlis mencatatkan nilai Rt 1.00 semalam.

Empat negeri dan wilayah mencatatkan nilai Rt bawah 1.00 iaitu Johor (0.99); Kelantan (0.97); Labuan (0.82) dan Sabah (0.72).

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases/
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases/

Berita Harian X